Friday, April 14, 2017

Teknologi menjadikan anak gemuk, bodoh, kejam?

Sinar Harian
Teknologi menjadikan anak gemuk, bodoh, kejam?
Gambar hiasan. - Foto Huffington Post
IBU BAPA mempunyai banyak tanggungjawab, antaranya memastikan anak hidup dengan baik dan seterusnya cuba membesarkan mereka menjadi manusia yang berguna.

Tidak dinafikan apabila pembesaran anak-anak dikaitkan dengan media dan teknologi, gambarannya adalah begini: 'televisyen akan mereputkan otak anak!', 'permainan video adalah syaitan!' atau 'budak zaman sekarang sudah tidak pandai berbual lagi!'.

Pendekkan cerita, terlalu banyak pendedahan media atau teknologi akan merosakkan anak anda, atau membuatkan mereka menjadi gemuk, bodoh dan kejam.

Bagaimanapun, pendapat tersebut sudah tentu melampaui batas dan kebenaran yang sebenarnya lebih rumit, tetapi tidaklah menakutkan.
Berikut adalah kompilasi mesej menakutkan mengenai pendedahan media dan teknologi terhadap anak-anak oleh Sierra Filucci, Common Sense Media, CNN dan cara untuk menguruskan mereka.

Terlalu banyak menonton televisyen mereputkan otak anak
Kata penyelidik: Tiada sebarang penyelidikan yang mengatakan skrin televisyen merosakkan otak, tetapi yang jelas terlalu banyak menonton televisyen adalah tidak bagus untuk anak. Penyelidikan membuktikan televisyen mengurangkan masa anak bermain secara aktif dan sebaliknya melekakan anak di hadapan sebuah kotak elektronik, malah mengurangkan interaksi antara anak bersama ibu bapa.

Televisyen juga memberi kesan kepada kualiti dan jumlah jam kanak-kanak tidur, dan ia akan memberikan kesan lebih mendalam terhadap pembelajaran anak-anak.

Nasihat: Tutup televisyen kecuali anda sebagai ibu atau bapa sedang aktif menontonnya. Keluarkan televisyen dari bilik tidur. Jika anda mahu sesuatu yang melekakan dan mempunyai kesan lebih baik dari televisyen, mainkan musik.
Kalau boleh, sebagai ibu atau bapa, bermainlah secara aktif bersama anak-anak anda.

Terlalu banyak menonton televisyen atau bermain permainan video membuatkan mereka gemuk
Kata penyelidik: Penyelidikan membuktikan terdapat kaitan diantara jisim badan (body mass index) dengan menonton televisyen tetapi ia juga berkait rapat dengan menonton iklan berkenaan dengan makanan.

Nasihat: Kurangkan menonton iklan makanan. Malah, ajar anak tentang mengapa sesetengah makanan adalah tidak baik untuk mereka dan iklan hanyalah suatu alat untuk memikat pembeli menggunakan warna dan bentuk makanan yang menarik.
Kemudian, ajar anak bersenam setiap, tidak kira di sekolah atau di rumah. Jika mereka tidak boleh bermain di luar, pastikan mereka aktif secara fizikal di dalam rumah.

Anak-anak ketagih menggunakan internet, telefon bimbit
Kata penyelidik: Beberapa penyelidikan telah dibuat tetapi semua keputusan gagal memberikan punca yang konkrit apabila ianya berkaitan dengan kanak-kanak.
Namun begitu, penyelidikan juga membuktikan anak-anak rasa ketagih dengan internet dan telefon bimbit, dan ianya disebabkan oleh 'terlalu banyak masa luang'.

Nasihat: Cuba bina cara hidup yang seimbang untuk kehidupan anak. Ini bermakna mereka perlu tahu bila untuk menggunakan internet atau telefon bimbit, dan bila untuk berbual dengan ibu bapa mereka, membaca buku atau sebagainya.
Kelakuan anak perlu diperhatikan secara teliti dan secara amnya, ibu bapa pastinya tidak mahu anak mereka tidak terlalu 'melekat' dengan internet ataupun telefon bimbit.

Permainan video ganas membuat anak menjadi kejam
Kata penyelidik: Pendedahan berterusan terhadap media yang mengandungi unsur ganas mampu menjadi faktor terhadap kelakuan anak, tetapi tidak semua. Kelakuan ganas atau sifat kejam anak selalunya juga dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah, pengaruh keganasan di dalam rumah tangga dan konflik di rumah.

Nasihat: Pastikan permainan video yang mereka main adalah sesuai untuk umur mereka, terutamanya yang mempunyai unsur ganas dan seks. Pastikan permainan pilihan untuk anak tersayang mempunyai nilai kekeluargaan.
Selain itu, hadkan waktu anak anda bermain dengan permainan video dan galakkan mereka bermain dengan rakan sebaya.

Sebagai ibu bapa juga, anda juga tidak digalakkan bergaduh atau bertengkar antara satu sama lain di hadapan anak-anak. Ini disebabkan anak-anak sentiasa mencontohi atau meniru sikap individu yang paling rapat dengan mereka.

No comments:

Post a Comment