Thursday, April 27, 2017

Wajah Thaqif luar biasa, kata Nooh Gadut

Bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut melihat wajah Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang meninggal semalam sebagai bercahaya, tersenyum, berseri serta luar biasa.

Beliau yang melawat jenazah pelajar tahfiz bersama beberapa pegawai dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Hospital Sultan Ismail semalam, memuji kebesaran Allah serta fadhilat membaca Al-Quran sebagai amalan oleh pelajar berkenaan.
"Saya lihat wajah Allahyarham memang luar biasa. Betullah seperti yang diperkatakan bahawa Al-Quran adalah cahaya. Cahaya bukan sahaja dalam tetapi terserlah di wajah Allahyarham.

"Saya melihat dengan sahabat-sahabat yang lain wajahnya tersenyum, berseri dan macam orang hidup lagi. Itulah kelebihan (orang yang membaca Al-Quran)," kata Penasihat MAINJ itu kepada pemberita.
Beliau menghadiri majlis perasmian Multaqa Ulama' Darul Takzim Ke-5 sempena Sambutan Ulangtahun Keputeraan Rasmi Sultan Johor 2017, di Persada Johor di Johor Bahru hari ini.

Beliau turut kagum apabila diberitahu mengenai hasrat Allahyarham yang mahu menghafal 30 juzuk Al-Quran.
Nooh juga terharu melihat dengan kesabaran ibu bapa Allahyarham Mohamad Thaqif Amin yang reda menerima ujian tersebut sebagai qada' dan qadar daripada Allah.

Beliau turut menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap penderitaan pelajar tahfiz itu dan menghantar wakilnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menziarahi jenazah Allahyarham.
"Saya berharap kisah ini ada hikmah, ada rahsia yang akan dijadikan kesedaran semua pihak, pihak sekolah dan lain-lainnya," kata beliau.

Sehubungan itu, pihak JAIJ dijangka akan memanggil pengetua-pengetua tahfiz untuk satu pertemuan serta taklimat penyelarasan dalam jangka masa terdekat itu bagi melihat penambahbaikan pengurusan dan pendidikan tahfiz termasuk prosedur pengambilan pekerja di institusi tersebut.

"Semua pekerja kena pastikan tiada kes polis, tiada kesalahan yang boleh membawa kepada perkara seumpama ini," kata beliau.
- Bernama

1 comment:

  1. Allahuakbar...
    Banyak perkara mahu saya ulas, namun biarlah saya pendamkan ulasan ini dalam jiwa saya sahaja. Kalau orang faham, fahamlah. Kalau orang tak faham, biarlah nanti Allah SWT sahaja yang memahamkannya.

    ReplyDelete