Tuesday, April 11, 2017

Zunar: Tindakan PAS pada Nanyang berlebihan

11/4/17

Kartunis satira politik Zunar menyifatkan gesaan penyokong PAS untuk menutup Nanyang Siang Pau sebagai “berlebihan”.

Zunar, atau nama sebenarnya Zuklifee Anwar Alhaque juga berkata demonstrasi di depan pejabat akhbar berbahasa Cina itu di Petaling Jaya hari ini juga sebenarnya tidak perlu.

Memberi contoh himpunan BERSIH, Zunar berkata mereka menganjurkan perhimpunan apabila semua saluran komunikasi dengan kerajaan sudah tertutup.
“(Tetapi) dalam kes ini, Nanyang telah meminta maaf dan menarik balik kartun itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Zunar juga berkata beliau percaya jika pemimpin PAS atau anggotanya menulis reaksi balas atau bertemu dengan kartunis itu, Nanyang pasti akan mendengarnya dan menyiarkan kritikan balas PAS.

Sekumpulan penyokong PAS hari ini berhimpun di depan pejabat Nanyang bagi menyatakan bantahan mereka terhadap kartun yang menggambarkan Hadi sebagai monyet berserban.
Perhimpunan itu menyaksikan naskhah Nanyang dikeroyok dan dipijak selain Kementerian Dalam Negeri digesa menutup harian itu.

Bertajuk "Akta Monyet", kartun itu memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai "speaker" manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai "Hadi Awang" bertenggek di pokok "Akta 355".
Karikatur itu mempersendakan Hadi selepas pemimpin itu membentangkan usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali sebagai Akta 355.

Nanyang yang dimiliki oleh jutawan balak Tan Sri Tiong Hiew King, memohon maaf atas penyiaran karikatur itu dan menarik balik siaran itu.
PAS bagaimanapun hari ini telah mengarahkan tindakan undang-undang diambil terhadap Nanyang.

Sementara itu, Zunar menggesa semua pihak memahami kerja kartunis.
Katanya, golongan itu menggunakan pelbagai watak untuk menyampaikan mesej, termasuk benda, binatang, makanan atau orang tertentu.
“Ia tidak bermaksud monyet secara harfiah,” katanya.

Mengupas kartun itu, beliau juga berkata kartunis cuba menyampaikan mesej bahawa perbahasan terhadap akta itu telah dilengah-lengahkan.
Beliau juga berkata, apabila sesuatu isu atau usul dibentangkan di Dewan Rakyat, semua pihak boleh membincangkannya, termasuk kartunis.

“Semua orang akan bahaskan perkara itu atau bincangkan dengan cara atau kepakaran mereka sendiri.
“Bila kamu masuk politik, kamu kena terima kritikan terbuka. Malah Nabi juga terbuka pada kritikan,” katanya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment