Tuesday, May 23, 2017

40 pegawai kastam dibuang kerja setiap tahun

rasuah
SEKURANG-kurangnya 40 pegawai kastam dibuang kerja setiap tahun akibat terbabit dalam gejala rasuah.

Ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam yang menegaskan tidak teragak-agak akan terus mengenakan tindakan keras terhadap mana-mana pegawainya yang didapati bersalah menerima suapan.

"Selepas dilantik ketua pengarah, saya telah mengemaskinikan pengurusan Jabatan Kastam terutama dalam usaha membanteras gejala rasuah dan penyelewengan.  Saya mengakui terdapat kelemahan dari segi proses penguatkuasaan dalam Jabatan Kastam. 

"Bagaimana pun, saya akan cuba meneliti sistem dan proses ini agar dapat mengesan mana-mana pegawai yang cuba mengambil kesempatan menerima rasuah dan mana-mana individu yang cuba melakukan aktiviti penyeludupan," kata Subromaniam ketika ditemu bual oleh Oriental Daily. 

Menurut beliau, pihak kastam akan memastikan setiap barangan diimport atau dieksport perlu mempunyai rekod yang jelas dan nama pegawai yang bertanggungjawab meluluskan kemasukan dan pengeluaran barangan berkenaan.
"Dalam Jabatan Kastam memang ada pegawai yang terbabit rasuah. Tetapi itu hanya segelintir sahaja. Disebabkan 'epal busuk' inilah menyebabkan nama kastam tercemar," ujarnya.

Katanya, Jabatan Kastam turut melakukan perubahan tempat bertugas terhadap seseorang pegawai setiap tahun bagi melicinkan gerak kerja.
"Kami tidak akan membiarkan seseorang pegawai berada di sesuatu lokasi yang sama untuk tempoh yang panjang. Sekiranya beliau ditugaskan selama 10 tahun di lokasi yang sama, beliau tentu akan rasa terlalu selesa di situ," katanya. 

Subromaniam, 58, yang sebelum ini memegang jawatan timbalan ketua pengarah kastam (pematuhan/penguatkuasaan) dinaikkan pangkat sebagai ketua pengarah kastam kira-kira dua bulan yang lalu bagi menggantikan Datuk Seri Khazali.
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment