Tuesday, May 16, 2017

46% daripada 414 individu ditahan SPRM ialah penjawat awam

FMT | May 16, 2017
Seramai 13 daripada 191 penjawat awam itu memegang jawatan peringkat pengurusan tertinggi, 44 di peringkat pengurusan dan profesional, manakala 134 pula ialah kumpulan pelaksana.
Datuk-Shamshun-Bahari-Mohd-Jamil
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 414 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini, dengan 191 orang atau 46% daripadanya merupakan penjawat awam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Bahari Mohd Jamil berkata, 13 daripada penjawat awam tersebut memegang jawatan peringkat pengurusan tertinggi, 44 daripada peringkat pengurusan dan profesional, manakala 134 pula adalah kumpulan pelaksana.
“Kita mahu memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah yang memang fokusnya terhadap gejala rasuah dalam sektor awam.

“Dalam masa 3 tahun ini menjelang 2020, kita fokus kepada sektor awam dahulu. Bagaimanapun, ia tidak bermakna sektor lain diketepikan,” katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shamshun Bahari mewakili SPRM turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi kerjasama dalam khidmat nasihat dan rundingan serta perkongsian maklumat mengenai perlakuan jenayah rasuah.

Warga KPKT diketuai menterinya, Tan Sri Noh Omar, turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang bertujuan meningkatkan rasa tanggungjawab penjawat awam dalam melaksanaan tugas dan menghindari amalan rasuah dalam majlis itu.
Noh berkata, langkah kementerian menyertai bacaan ikrar itu memberi mesej jelas kepada masyarakat yang KPKT berjanji akan menjalankan tugas dengan amanah dan tidak prejudis ke atas mana-mana warganya yang terlibat dalam perbuatan rasuah.

“Kita tidak mahu rasuah menjadi seperti budaya dalam negara kita kerana ia akan meranapkan negara, bukan sahaja rakyat tempatan hilang kepercayaan kepada kerajaan, malah pelabur luar juga tidak akan datang ke negara kita,” katanya.
KPKT adalah kementerian ke-11 yang melafazkan ikrar tersebut.

No comments:

Post a Comment