Monday, May 29, 2017

Ambulans bawa pesakit ke bank

Ambulans bawa pesakit ke bank
Ambulans dari Klinik Kesihatan Bunohan membawa Azizah ke bank di Kota Bharu.
TUMPAT - Seorang warga emas yang bergantung pada mesin oksigen 24 jam dibawa menaiki ambulans ke bank bagi urusan menukar kad bank yang tamat tempoh.

Azizah Mohamad, 77, dari kampung Kubang Sawa di sini  mengidap asma kronik hanya mampu bertahan 25 minit sahaja tanpa mesin oksigen dan situasi itu menyukarkannya  ke bank dengan kenderaan biasa.
Disebabkan kad bank tamat tempoh, wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dimasukkan ke dalam akaun Azizah tidak dapat dikeluarkan.

Bagaimana pun atas usaha Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail masalah itu dapat diselesaikan selepas beliau sendiri memohon perkhidmatan ambulans dari Klinik Kesihatan Bunohan untuk membawa Azizah ke bank di Kota Bharu.
Anak angkat Azizah, Rahim Mohamad,48, berkata, sudah lima bulan kad bank ibunya tamat tempoh.

"Sejak itulah wang bantuan dia tidak dapat dikeluarkan, sedangkan wang itu amat penting untuk makan minum kami," katanya.
Rahim berkata, dia tidak bekerja hampir setahun kerana sukar meninggalkan ibu angkatnya bersendirian yang sering sesak nafas.

Menurutnya, walau pun wang bantuan itu hanyalah RM120 sebulan tetapi ia amat bermakna terutamanya untuk membayar bil elektrik dan keperluan dapur.
Sementara itu, Mat Razi berkata, kesukaran dua beranak ini yang tinggal agak terpencil di pendalaman diselesaikan selepas dia berunding dan memohon perkhidmatan ambulans dengan pihak klinik terbabit.

"Khidmat ambulans bukannya menghantar pesakit ke bank tapi selepas pihak mereka meneliti permohonan saya, ianya dapat diselesaikan.
"Terima kasih kepada semua kakitangan Klinik Kesihatan Bunohan di atas keprihatinan membantu pesakit ini hari ini," katanya.

No comments:

Post a Comment