Sunday, May 7, 2017

ANAK, NGO Ezam meterai MoU perangi rasuah Felda

7/5/17 Malaysiakini

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) bekerjasama dengan Hisbah Centre For Reform (Hisbah) yang diketuai Datuk Ezam Mohamad Nor untuk memerangi rasuah dalam agensi Felda.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak itu dilakukan di Wisma Parti Amanah Negara dengan disaksikan presidennya, Mohamad Sabu, hari ini.

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, mereka akan memulakan kempen memerangi rasuah Felda di kawasan parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kita memilih kawasan Pekan kerana Najib adalah orang yang bertanggungjawab dalam perjalanan Felda, jadi dia kena buktikan komitmen beliau (terhadap rasuah dalam Felda)," kata Mazlan dalam sidang media hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha AMANAH, Anuar Tahir, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dan pemimpin Parti Bebas Rasuah, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Menurut Mazlan, pelancaran kempen itu yang dijangka bermula 21 Mei ini akan mensasarkan kawasan Felda di seluruh negara dan menjemput pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad turut serta dalam program berkenaan.

Sementara itu, mengulas kerjasama dengan Hisbah, Mazlan berkata usaha tersebut dilakukan kerana pihaknya tidak mampu memerangi rasuah dalam Felda secara bersendirian.
"Kita tak mampu dedah (rasuah) secara persendirian. Kalau nak harapkan NGO ANAK sahaja kita tak mampu. Jadi, dengan adanya kerjasama bersama Hisbah kita saya yakin usaha ini dapat dipertingkatkan lagi," kata Mazlan.

Sementara itu, Ezam berkata Hisbah sedia bekerjasama dengan ANAK kerana rekod ditunjukkan NGO itu terutama dalam memperjuangkan isu Felda.
Katanya, pemilihan Pekan dibuat kerana terdapat banyak kawasan Felda di parlimen berkenaan dan mereka mahu membawa isu-isu membabitkan Felda terus kepada pengundi di situ.

No comments:

Post a Comment