Friday, May 19, 2017

Cerita di sebalik ombak David Teo dan lempang Mat Over

Malaysiakini 19/5/17
ULASAN l Memang istimewa benarlah dialog Transformasi Nasional 2050 yang menghimpunkan 'aktivis seni' di Seri Perdana pada 17 Mei lalu.
Istimewa kerana, tanpa banyak soal atau sedar, kita memaknakan "seni" dengan begitu mudah dan melulu, iaitu berhibur. Maka yang ada dan menonjol ialah watak-watak biasa dalam dunia hiburan tempatan.

Tapi memang begitulah kebanyakan kita. Selain mudah terhibur seni bagi kita ialah tentang artis dan dunia hiburan. Atau siapa juara Akademi Fantasia, Gegar Vaganza, Maharaja Lawak Mega dan program lain yang seumpamanya.
Namun tulisan ini tidaklah berniat untuk membincangkan isu itu dengan lebih lanjut kerana ada aspek lain yang tidak kurang istimewanya.

Ia adalah tentang misteri yang tak terselesaikan. Kira-kira ia dapat dibidalkan dengan seseorang yang terasa ingin bersin namun tidak menjadi. Berair juga mata menahan kecewa.

Apakah yang ingin diungkapkan oleh David Teo sebenarnya?
Pagi itu, saya dikejutkan dengan perkhabaran bahawa ada satu pertengkaran berlaku pada sesi dialog #TN50seni di kediaman rasmi perdana menteri.
Khabar lisan yang disampaikan kepada saya ialah: "David Teo kena tumbuk" dan gambaran yang muncul dalam kepala ialah wajah pelakon dan hos terkenal, Patrick Teoh.

Wah, bagaimana orang bernama "David Teo" (dan gambaran yang muncul ketika itu ialah wajah Patrick Teoh) boleh dikasari begitu. Besar benarkah salah yang dilakukan.
Memang saya tidak mengikuti sesi dialog #TN50seni itu kerana ada urusan lain yang lebih penting. Namun dalam sesi itulah berlaku sesuatu yang tidak kurang pentingnya untuk pembangunan negara menuju 2050.

David si penerbit filem mahu bertanyakan soalan; pengacara terkenal, berpengalaman lama dan digemari ramai - Datuk Rosyam Nor - didakwa enggan melayan; dan Mat Over datang dengan lagak seorang pendekar lalu melayangkan penampar.

Satu daripada saksi terpenting pula ialah seorang pahlawan Bugis.
Tetapi paling terkilan dan kerugian besar kepada negara ialah terbunuhnya suatu ungkapan penting yang sepatutnya boleh saja didengarkan terlebih dulu.

Apakah ungkapan lengkap yang mahu diucapkan oleh Teo selain "Orang kata, sekali itu ombak sampai ke pantai, selalu pantai itu..."?

Selepas pudarnya bintang Karam Singh Walia, Teo mungkin boleh menjadi pengubat kepada rindu kita terhadap bidalan dan peribahasa yang segar.
Bidalan seperti sekeh, beruk, anjing dan sebagainya kini sudah menjadi amat klise untuk disembang-sembangkan. Selebihnya adalah sekadar 'perit bahasa'.

Kemudian, datanglah detik yang mendebarkan itu. Kata seorang rakan, ia adalah natijah daripada sebuah tonil yang gagal mengikut skrip.
Mungkinkah memang sudah tersurat dan tersirat bahawa Rosyam yang berpengalaman sebagai pengacara serta juri program realiti itu hanya perlu melayan soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penonton di barisan depan?
Sebuah persembahan yang tiba-tiba tidak mengikut skrip memang mudah untuk menjadi kecoh.

Nah, sekarang, ada yang lebih penting daripada itu untuk direnungkan.
Tanpa memihak atau ingin membela Teo yang ingin bertanya soalan (sila ambil maklum bahawa dia belum bertanya soalan pun), suaranya memang agak tinggi.

Dengan hipotesis bahawa memang Teo 'biadab' penerbit filem Aku Terima Nikahnya itu sebenarnya meninggikan suara apabila pertanyaannya tidak dilayan.

Ia adalah gambaran kekecewaan seseorang apabila rasa ingin tahunya tidak dipuaskan dengan jawapan.
Ia kira-kira samalah dengan tanda tanya kita kepada pelbagai misteri dan tuduhan yang dibangkitkan di pentas politik negara. Memanglah pentas itu tidak sebulat pentas dialog #TN50seni kelmarin namun ia tetaplah mustahak dan mendesak.

Tanda tanya mengapa Jho Low masih ghaib entah di mana dan apa sebab Riza Aziz dilihat menyertai delegasi bapa tirinya bertemu Jack Ma, misalnya.
Atau bagaimana nasib tanah air di Forest City di tangan pelabur dan pekerja China.

Jeritan, laungan dan pertanyaan sudah dibangkitkan berkali-kali namun watak 'Rosyam Nor' ada banyak di luar sana. Seri Perdana menyaksikan bagaimana rasa ingin tahu yang tidak dilayan boleh membawa kebiadaban.
Masalahnya di luar sana bukan ada 'Rosyam Nor' saja. Watak 'Mat Over' pun boleh tahan juga ramainya.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Ulasan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment