Malaysiakini 16/5/17
Nasib PAS dalam kerajaan Selangor terutamanya melibatkan tiga exconya
mungkin ditentukan malam ini ketika mesyuarat Biro Politik PKR.
Namun, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk
Seri Azmin Ali tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut kerana kini
berada di luar negara.
Di Facebook dan Twitter, Azmin memberitahu beliau kini berada di
Brussels, Belgium kerana mempunyai urusan berkaitan Invest Selangor.
Sehubungan itu, Malaysiakini telah cuba mendapatkan respon
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berhubung
ketidakhadiran Azmin, namun masih tidak berjaya.
Semalam, dalam sidang media, Saifuddin memberitahu mesyuarat Biro Politik PKR akan diadakan malam ini.
Saifuddin turut memberitahu, Azmin telah memaklumkan kepadanya tentang butiran pertemuan bersama pesuruhjaya PAS serta tiga exco Selangor yang berlangsung pada Jumaat lalu.
"Saya percaya perkara ini akan disampaikan (dalam mesyuarat Biro Politik)," kata Saifuddin.
Sementara itu, pada sidang media Majlis Setiausaha Pakatan Harapan,
Ketua Setiausahanya Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan kepada Biro
Politik PKR untuk menentukan nasib tiga exco PAS di Selangor.
Ditanya mengenai ketiadaan Azmin, Saifuddin Abdullah enggan mengulas
lanjut dan meminta agar pertanyaan itu diajukan kepada setiausaha agung
PKR.
Pada sidang media sama, Saifuddin Abdullah memberitahu, Pakatan
Harapan masih terbuka untuk berbincang dengan parti pembangkang lain
berhubung pengagihan kerusi pilihan raya umum.
Ditanya mengenai siapa parti pembangkang yang dimaksudkan, Saifuddin
Abdullah berkata terdapat banyak parti pembangkang di Sabah, Sarawak dan
di semenanjung.
"Ada banyak parti pembangkang di Sabah, Sarawak. Di semenanjung kita ada (Parti Sosialis Malaysia) PSM.
"Pakatan Harapan membuka ruang untuk rundingan (kerusi) dengan semua parti," katanya.
Ketika ditanya adakah ia termasuk PAS, Saifuddin hanya menjawab:
"Jika PAS masih mempertimbangkan mereka masih lagi pembangkang," katanya sambil ketawa.
No comments:
Post a Comment