Tuesday, May 2, 2017

Parti lain punca terputus kerjasama, kata Hadi

 FMT| May 1, 2017
Punca terputusnya jalinan kerjasama dengan parti lain bermula dari mereka, bukan PAS, kata Presiden Datuk Seri Hadi Awang.
hadi-pas
ALOR SETAR: Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyangkal tanggapan PAS sukar bekerjasama dengan parti lain melihat kepada sejarah kegagalan hubungan antara mereka dengan parti politik lain.
Hadi berkata sejarah membuktikan PAS sudah mematuhi syarat menghormati dasar parti rakan, tetapi parti lain yang menjadi pemula terputusnya kerjasama.

“Yang pecat PAS dari BN ialah Umno, bukan PAS keluar. Termasuk Semangat 46, ia singkirkan diri. Termasuk DAP tahun 2000 iaitu Barisan Alternatif, DAP yang keluar. Termasuk yang terakhir, DAP yang pecat PAS dengan tidak ada undang-undang. Bukan kita keluar, tidak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut hari ini.

Hadi turut menolak dakwaan PAS menjadi punca terputusnya kerjasama dengan parti politik lain sebelum ini.
“Kita di atas landasan kerjasama, tak sentuh dasar parti masing-masing. Itu sikap kita. Bila orang lain sentuh dasar, itu sudah langgar sempadan,” katanya.
Pilihan raya umum 1974 menyaksikan PAS bertanding di bawah bendera BN buat pertama kali dan kali terakhir. Konflik antara presiden PAS ketika itu, Tan Sri Asri Muda dan ketua menteri Kelantan Datuk Muhammad Nasir membawa kepada perpecahan dalam kerajaan gabungan di Kelantan, dan terkeluarnya PAS dari BN pada 1977.

Hubungan PAS dan DAP sewaktu dalam Barisana Alternatif dan Pakatan Rakyat terputus akibat pertelagahan antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam.

Terbaru, Majlis Syura Ulama PAS bakal menentukan nasib kerjasama antara parti itu dan PKR, selepas muktamar meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan parti reformasi itu.

Mengulas mengenai pertandingan 3 penjuru, Hadi berkata PAS tidak pernah gentar berdepan situasi itu.
“Kita pernah hadapi segala kemungkinan kerana sejarah politik kita panjang lebih dari orang lain. Kita pernah sendirian, pernah tinggal 1 kerusi, tak ada kerusi langsung, 2 penjuru, 3 penjuru. Pengalaman kita banyak.
“Apa yang penting PAS negeri, kawasan patuh kepada pimpinan pusat,” katanya.

No comments:

Post a Comment