Malaysiakini 11/5/17
PAS berpendapat bekas ketua hakim Syarie Terengganu dan pihak lain
tidak "mengelirukan masyarakat" dengan membuat andaian dan persepsi
"jahil" mengenai rang undang-undang meminda Akta 355 (RUU355).
Kata Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, itu adalah langkah paling
minimum dapat dibuat jika tidak mahu membantu "usaha murni" mereka
meminda akta berkenaan.
Mengulas kenyataan dibuat Datuk Ismail Yahya pada 9 Mei lalu,
Nasrudin berkata, pemimpin PAS sudah memberikan penjelasan panjang lebar
dan dari perspektif yang pelbagai mengapa parti itu mencadangkan Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - nama lain bagi Akta 355 -
itu perlu dipinda.
"Tujuan PAS membentangkan RUU355 adalah untuk memartabatkan institusi
mahkamah syariah di negara ini bagi membolehkannya menjatuhkan hukuman
selari dengan syariat Islam yang sebenar.
"Usaha PAS ini bertepatan dengan peruntukan perlembagaan dan
bersesuaian dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara
ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anggota
parlimen Temerloh itu mengulas kenyataan dibuat Ismail yang
mempersoalkan sama ada pindaan dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat lalu.
Melalui cadangan dibawa Abdul Hadi itu, PAS mencadangkan supaya
peruntukan hukuman maksmimum bagi kesalahan jenayah ditingkatkan kepada
penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan sebat 100 kali.
Ismail mempersoalkan sama ada cadangan dibawa itu benar-benar dapat memberi keadilan dan kesaksamaan sehingga Islam dapat dilihat lebih menarik atau sebaliknya.
Beliau juga mengingatkan, walaupun undang-undang syariah adalah adil,
pelaksanaan yang salah hanya akan membuat masyarakat menjauhi Islam.
Tetap bersikap terbuka
Ismail - bersama seorang lagi panel, pensyarah Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Dr Rozaimi Ramle - turut membangkitkan isu sama ada RUU355
itu akan menjadi undang-undang walaupun mendapat sokongan semua anggota
parlimen.
Ia merujuk kepada proses penggubalan undang-undang yang memerlukan ia
dibawa oleh kerajaan sendiri dan bukannya secara persendirian oleh
anggota parlimen bukan kerajaan.
Ismail dan Rozaimi bercakap pada forum Terus Terang anjuran Invoke di Kuala Lumpur. Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, menjadi pengerusi forum berkenaan.
Nasrudin berkata, sokongan ulamak, cendekiawan Islam, pertubuhan
bukan kerajaan dan orang awam kepada usul PAS itu memperlihatkan
kepentingan dan kewajarannya.
Justeru, katanya, ia tidak harus diremeh atau diperlecehkan.
"Sepatutnya, Datuk Ismail Yahya dan lainnya bersama-sama membantu
usaha murni ini, atau sekurang-kurangnya tidak mengelirukan masyarakat
dengan andaian dan persepsi yang dibuat akibat kejahilan diri sendiri
tentang RUU355 ini," katanya.
Bagaimanapun, kata Nasrudin, PAS tetap terbuka dengan sebarang kritikan dan cadangan daripada mana-mana pihak.
Sekiranya Ismail berpendapat ada kaedah yang lebih munasabah dan
berkesan, katanya, PAS mengalu-alukan dan menggesa beliau segera
memulakan inisiatif berkenaan.
"PAS juga terbuka menerima undangan serta kunjungan pelbagai pihak bagi menjelaskan lagi berkenaan RUU355 ini," katanya.
No comments:
Post a Comment