Friday, May 19, 2017

Pas kekal keputusan, tiga exco tidak letak jawatan

Sinar Harian
Pas kekal keputusan, tiga exco tidak letak jawatan
Tuan Ibrahim (dua, kiri) dan Takiyuddin (tengah) pada sidang media Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas.
KUALA LUMPUR - Tiga Exco Pas dalam Kerajaan Selangor akan terus memegang jawatan sehingga satu keputusan baharu dicapai.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas mengekalkan keputusan tersebut agar tidak mengganggu perjalanan pentadbiran Kerajaan Selangor.
“Setakat hari ini, ketiga-tiga Exco Pas akan terus berkhidmat dalam kerajaan Selangor dan kita yakin pentadbiran (masih) boleh berjalan dengan lancar. Kita juga tidak mahu mengganggu perjalanan kerajaan (jika exco meletakkan jawatan sekarang).

“Ketetapan ini kekal sehingga satu keputusan baharu dibuat dan Pas akan memaklumkan tindakan susulan kemudian," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarakat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas, hari ini.
Pada masa sama, Pas memutuskan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan pelbagai isu yang melibatkan kerajaan negeri itu dalam masa terdekat.

“Pas akan diwakili saya sendiri dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan selain naib presiden. Tarikh dan masa akan diputuskan kemudian,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, berdasarkan Perkara 53 Fasal 7 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, ia jelas mengatakan bahawa seseorang ahli majlis mesyuarat kerajaan selain menteri besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Itu yang dipegang Pas. Tetapi mana-mana ahli majlis itu boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa.
“Namun, dalam konteks ini soal meletakkan jawatan itu tidak timbul. Ahli exco Pas akan terus memegang jawatan exco selagi diperkenan Sultan Selangor,” katanya.

Berhubung isu di Kelantan, Pas sekali lagi tetap dengan pendirian memberi kebebasan sepenuhnya kepada ahli PKR sama ada untuk meletak jawatan atau pun kekal berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan Kelantan.
Sebelum ini, tersebar khabar angin bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan tiga exco Pas meletakkan jawatan.

Namun, perkara itu bagaimanapun dinafikan ketiga-tiga exco berkenaan iaitu Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengesahkan parti tidak menerima sebarang makluman rasmi mengenai arahan agar exco-exco Pas meletak jawatan.

Menurut beliau, Pas hanya akan membincangkan isu peletakan jawatan jika ada permintaan.

No comments:

Post a Comment