3/5/16 Malaysiakini
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini memberi tumpuan kepada
beberapa dokumen yang didakwa menyenaraikan penerima bayaran daripada
dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang disalurkan ke
dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dokumen-dokumen berkenaan dimuat naik pada blog sprminsider.blogspot.my pada 2016. Bagaimanapun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah menyekat akses kepada laman web itu.
Bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur petang ini, Rafizi
berkata beliau memutuskan untuk membangkitkan isu berkenaan kerana
mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah sahih.
"Semua
urus niaga diperiksa satu persatu berbanding kertas yang dipegang oleh
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (semasa sidang media pada 26
Jan 2016) yang memperincikan aliran wang dari SRC melalui beberapa
syarikat sebelum berakhir dalam akaun Najib.
"Semua maklumat dalam dokumen itu yang dimuat naik ke sprminsider
adalah tepat, seperti yang dinyatakan dalam kertas yang dipegang oleh
Apandi," katanya.
Rafizi berkata, beliau bertambah yakin dengan kesahihan
dokumen-dokumen tersebut selepas menyiasat nama-nama syarikat dan
individu yang dinamakan dalam dokumen itu.
Beliau mendakwa semua mereka dikaitkan dengan Umno atau Najib sendiri.
Antara penerima yang dinyatakan di dalam dokumen itu adalah syarikat
barangan kemas De Grisgono di Arzachena, Itali, yang didakwa menerima 10
bayaran berasingan berjumlah Euro 763,500 (RM3,595,916.53 berdasarkan
kadar pertukaran semasa) pada tahun 2014.
Penerima lain dalam senarai itu, termasuk beberapa agensi yang
berkaitan dengan media, firma-firma lain, bahagian Umno dan BN serta
pelbagai individu.
Malaysiakini sedang dalam proses untuk menghubungi penerima yang didakwa itu untuk mendapatkan reaksi mereka.
Najib berulang kali menafikan bahawa dirinya menyalahgunakan dana
awam untuk kepentingan peribadi berhubung wang RM2.6 bilion yang berada
di akaun peribadi banknya. Sebaliknya, wang berkenaan dikatakan adalah
sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan dirinya daripada sebarang salah laku.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 3 April, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatannya ke atas SRC
International.
Jawapn satu perenggan itu mendedahkan bahawa SPRM telah merakamkan kenyataan semua saksi yang terlibat.
No comments:
Post a Comment