Wednesday, May 24, 2017

Selepas Jho Low menghilang, impian seorang pemaju New York hancur

 | May 24, 2017
Bangunan 47 tingkat di tengah kota raya New York ini kini terpaksa dilelong kerana kaitannya dengan dakwaan wang haram 1MDB.
park-lane-jho-low
PETALING JAYA: Rancangan seorang pemaju terkenal di New York untuk membangunkan semula sebuah menara yang menjadi mercu tanda bandar raya itu selama lebih 4 dekad, kini tidak kesampaian, semuanya kerana “kehilangan” orang yang membantunya memiliki hartanah mewah itu.

Dan orang itu ialah Low Taek Jho, atau Jho Low, warganegara Malaysia yang dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) tahun lalu dalam penyiasatannya terhadap kecurian wang berkaitan 1MDB.

Pada 2013, Jho Low memberikan deposit yang tidak boleh dipulangkan sebanyak AS$100 juta (RM430 juta berdasarkan nilai ringgit terkini) bagi membolehkan pemaju New York, Steven Witkoff, memiliki Park Lane, bangunan hotel 47 tingkat yang dibina pada 1971.
Jho Low juga bersetuju membayar 85% daripada harga jualan bangunan itu, AS$654 juta (RM2.8 bilion).

Akhbar New York Times hari ini melaporkan DoJ mengarahkan Witkoff untuk melelong bangunan itu, kerana ia antara hartanah dan aset yang dinamakan terlibat dalam kecurian wang.
“Ini merupakan bidang tanah terbaik di bandar raya New York, dan mungkin di seluruh dunia,” Witkoff memberitahu NYT.

“Kami mereka bentuk apa yang rakan kongsi lain menganggap sebuah bangunan indah. Tidak sangka kami berdepan dengan keadaan ini,” katanya.
Jho Low kini tidak dapat dikesan, dan menurut NYT, beliau mungkin menyorok di salah sebuah hotel di Shanghai, China.

Menurut laporan siasatan DoJ, seorang eksekutif di pejabat Witkoff pernah bertanya akan sumber kewangan Jho Low.
Jho Low menjawab: “Harta keluarga Low,” dan “Kesemuanya keluarga.”
Bagaimanapun, DoJ yakin dana itu datangnya daripada 1MDB.

Dalam laporannya, DoJ berkata Jho Low dan sekutunya berpakat memindahkan wang sebanyak AS$3.5 bilion (RM15 bilion) daripada 1MDB bagi membeli Park Lane, sebuah hotel di Beverly Hills, kondominium di New York, lukisan mahal di samping untuk penerbitan filem “The Wolf of Wall Street” yang diterbitkan sebuah syarikat diketuai anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

No comments:

Post a Comment