2/5/17 Malaysiakini
Sekalipun ‘cakap-cakap tidak puas hati’ terhadap kerajaan negeri
Kelantan pimpinan PAS sedang menular, namun bagi bekas Ahli Parlimen
Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, Umno-BN tidak mampu merampas negeri itu
pada pilihan raya umum akan datang.
Ibrahim yang pernah menang kerusi berkenaan atas tiket Umno dan juga
sebagai calon BEBAS tetapi melalui sokongan PAS, berkata, meskipun
rakyat semakin gelisah dengan tindak tanduk pentadbiran PAS, namun
mereka telah sebati dengan PAS serta menolak Umno.
"Rata-rata
cakap tak puas hati dengan PAS tetapi orang Kelantan majoriti yang juga
atas pagar terutama yang merantau dari Kuala Lumpur balik tetap
mengundi PAS, sebab mereka pemikiran tak nak Umno, tak terima kepimpinan
Umno.
"Jadi, walaupun keadaan (tak puas hati) ini wujud di Kelantan, rakyat
tak senang hati dengan PAS di kelantan, tetapi tidak mudah untuk Umno
untuk merampasnya dari PAS," kata Ibrahim pada sidang media di ibu
pejabat PERKASA, Kuala Lumpur hari ini.
Ulat dalam batu
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata Umno
Kelantan tidak perlu berada dalam kedudukan selesa walaupun terdapat
pihak membayangkan BN mempunyai peluang cerah untuk kembali mentadbir
negeri itu.
Beliau berkata, Umno Kelantan sepatutnya perlu membuat persiapan rapi
bagi menghadapi pilihan raya ke-14 yang mesti diadakan sebelum
pertengahan tahun depan.
Selain Annuar, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut
membayangkan BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan
penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan.
Presiden PERKASA itu berkata, rakyat Kelantan adalah unik di mana
mereka tidak pernah kisah dengan kegagalan pentadbiran PAS dalam
membangunkan negeri itu khususnya ekonomi.
“Rakyat ada satu sifat ulat dalam batu pun boleh hidup, cakaplah soal pembangunan, cakap apa pun mereka undi PAS," kata Ibrahim.
Bagi sesetengah penganalisis dengan ketiadaan bekas Mursyidul Am PAS
Datuk Nik Aziz Nik Mat yang telah berkhidmat sebagai menteri besar
Kelantan selama 23 tahun, pilihan raya akan datang adalah peluang
terbaik bagi Umno merampas semula negeri itu.
Ibrahim pada awal tahun ini mendedahkan dirinya akan bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam PRU14.
Beliau juga mengumumkan jika ada tawaran daripada mana-mana parti, beliau sedia mempertimbangkannya.
No comments:
Post a Comment