KUALA TERENGGANU – Bersatu Terengganu kesal dengan tindakan pihak
tertentu mempersoalkan kewibawaan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
yang mengaitkan Muhyiddin dengan kepincangan yang berlaku dalam Bersatu
di peringkat kebangsaan dan Perak.
Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris menegaskan, pihaknya
mengutuk dan menolak sebarang perbuatan mensabotaj kepimpinan serta
menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan juga timbalannya, Datuk Seri
Mukhriz Mahathir bagi membawa parti ke arah yang lebih teguh dan
cemerlang.
Beliau mendakwa, pihak yang mendatangkan suasana tidak selesa dalam
parti adalah pemimpin di peringkat negeri dan bahagian tertentu yang
tidak berpuas hati disebabkan tuntutan mereka bersifat peribadi tidak
dilayan.
“Sewajarnya kita sebagai ahli dan pemimpin bawahan menghormati dan
memahami arah dan matlamat kepimpinan atasan, bukan mengkritik secara
terbuka.
“Sebarang pendapat atau pandangan kedua perlu dikemukakan dan
dibincangkan pada mesyuarat dalaman parti, bukan mengkritik secara
terbuka dan menggunakan media bagi mencari populariti diri,” katanya
kepada Sinar Harian, di sini.
Razali berkata sebagai mengulas mengenai Ketua Pendaftar Bersatu Perak,
Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar kononnya seluruh bahagian Bersatu Perak
membuat desakan supaya Muhyiddin meletakkan jawatan ekoran kepincangan
di peringkat kebangsaan dan Perak.
Azrul Suhadi juga didakwa turut menyatakan Muhyiddin tidak pernah
ikhlas kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyokong dan
pendokong parti.
Mengulas lanjut, Razali menolak dakwaan berhubung sikap tidak ikhlas
Muhyiddin sambil menyifatkan ia bertujuan memecahbelahkan parti dengan
sengaja.
Jelasnya, berdasarkan kenyataan ditunjukkan oleh 3M atau Mahathir,
Muhyiddin dan Mukhriz, ternyata ketiga-tiganya menunjukkan semangat
setia kawan dan persefahaman padu dalam meningkatkan maruah dan
perjuangan parti.
“Tuduhan bahawa sepanjang masa Tan Sri Muhyiddin ‘menangguk di air yang
keruh’ dengan mengambil kesempatan di atas populariti Tun Mahathir bagi
mencatur parti adalah pandangan cetek dan dipengaruhi akal yang sempit
dan berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, dakwaan yang mengaitkan Muhyiddin mahu bersekongkol
dengan Pas disifatkan tuduhan untuk memperkecilkan usaha bertujuan
memenangi pilihan raya.
Sedangkan sebagai presiden parti katanya, Muhyiddin sudah tentu arif
dalam membentuk formula dan hala tuju parti untuk menang pilihan raya.
“Semua pihak perlu bergerak secara berpasukan dan meletakkan nilai
serta situasi menang-menang untuk kestabilan parti,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment