Thursday, May 18, 2017

Teo nafi kurang ajar terhadap PM

18/5/17 Malaysiakini

Penerbit filem David Teo menafikan beliau bertindak biadab terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pada majlis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Putrajaya, malam semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Pictures mendakwa beliau hanya tidak senang dengan moderator majlis itu, iaitu pelakon Rosyam Nor.
"Bukan niat saya mahu kurang ajar kepada perdana menteri. Saya hanya beritahu Rosyam bahawa hadirin tidak diberi peluang sama (untuk bercakap)...
"Bagaimana saya boleh kurang ajar kepada perdana menteri?" katanya yang dipetik oleh The Star Online.

Teo juga berkata beliau telah memaafkan pelakon Sulaiman Yassin, yang menamparnya di hadapan Najib.
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Najib, yang kemudiannya mahu kedua-dua mereka bersalaman selepas kejadian itu.
"Saya maklumkan kepada perdana menteri bahawa saya tidak menjangkakan kejadian itu. Saya juga beritahu perdana menteri bahawa saya telah memaafkannya (Sulaiman), apabila saya berjabat tangan dengan perdana menteri," katanya.

Sesi dialog TN50 Perdana Menteri bersama penggiat seni tanah air semalam berlaku insiden tidak diduga apabila Sulaiman bertindak mengasari Teo.
Sebelum itu, Teo telah meninggikan suaranya selepas tidak mendapat peluang untuk bercakap semasa dialog berkenaan.

Beliau mendakwa moderator, Rosyam Nor, dan Najib, hanya memberi perhatian kepada mereka yang di hadapan mereka, dan bukannya kepada hadirin yang duduk di belakang auditorium.

Rosyam kemudiannya bersetuju untuk memberi Teo peluang untuk bercakap selepas pengarah itu bersetuju untuk bertenang.
Walau bagaimanapun, Sulaiman yang tiba-tiba muncul dari belakang terus menampar Teo.

No comments:

Post a Comment