Saturday, May 20, 2017

Tiada solat Jumaat jemaah terpaksa patah balik

Sinar Harian
Jemaah terpaksa patah balik
Jemaah terpaksa berpatah balik sebaik mengetahui tiada penganjuran solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman.
PUCHONG – Kira-kira 1,000 jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman di sini terkejut apabila dimaklumkan tiada solat tersebut dianjurkan di masjid itu semalam meskipun sudah dua kali diadakan sejak ia mula dibuka 5 Mei lalu.

Rata-rata mereka terpaksa berpatah balik, ada antaranya ke Masjid Istiqomah di Kampung Seri Langkas, Surau Solat Jumaat di Taman Mas dan ke Surau Solat Jumaat Nurul Hidayah di Jalan Jurutera.

Pengerusi masjid, Shahrudin Mohd Sapian berkata, pihaknya sudah memberi taklimat berhubung perkara tersebut kepada kira-kira 200 jemaah yang hadir ke masjid malam kelmarin.
Bagaimanapun, lebih ramai yang tidak tahu dan hanya mengetahui perkara tersebut setelah melihat notis ditampal di luar masjid.
Asri (kiri) menunjukkan notis pemberitahuan tiada penganjuran solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman, semalam.
Shahrudin berkata, beliau sedih dan kecewa kerana jemaah tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan disebabkan belum mematuhi syarat dinyatakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam satu surat dikeluarkan 2 Mei lalu.

“Saya dah cuba dapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa tempatan tapi gagal, pihak perunding dah beri jaminan katakan masjid ini selamat diduduki...berilah keizinan dan permudahkan kita guna masjid ini.

“Masjid tak dapat CCC kerana masalah bekalan air, itu pun saya dah mohon cepatkan. Saya minta kita dapat solat Jumaat di sini insya-ALLAH masjid ni tak roboh,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Seri Aman, Mohd Asri Yunus pula berkata, pihak pengurusan akan sedaya upaya memenuhi empat syarat dinyatakan dalam surat berkenaan.

Katanya, arahan pihak Mais diperoleh melalui surat yang dihantar menerusi sistem aplikasi WhatsApp, pihaknya masih menunggu surat rasmi daripada Mais.
Mohd Asri berkata, pihaknya akur arahan pihak berkuasa agama negeri namun memohon semua pihak terlibat berganding bahu bantu-membantu antara satu sama lain.
Mais tidak benarkan solat Jumaat diadakan di Masjid Kampung Seri Aman hingga syarat dipatuhi.
“Saya akan bertemu dengan pihak Mais untuk cari jalan penyelesaian, proses yang perlu dilakukan mungkin ambil masa setahun paling minima masjid dah siap tinggal cari sikit lagi dana, kami nak imarahkan masjid.

“Jika tak dapat solat Jumaat mohon benarkan untuk solat fardu kerana segala prasarana dah siap takut juga kalau rosak, hilang dicuri dan sebagainya jika masjid tak diimarahkan,” katanya.

Mohd Asri berkata, kini penduduk sekitar kawasan itu akan kembali solat Jumaat di Surau Nurul Hidayah, Jalan Jurutera meskipun berdepan masalah ruang terhad dan lambakan jemaah.
“Mohon penduduk dan masyarakat tidak menuding jari ke arah pihak berkuasa, ini adalah proses teknikal biasa terhadap kelulusan bangunan yang didirikan. Minta jangan pula nanti ada yang keruhkan keadaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment