Tuesday, May 2, 2017

Tidak ralat berbintikan ‘Kunyit’

Tidak ralat berbintikan ‘Kunyit’
Sema menunjukkan MyKad miliknya.
JELI - Berbintikan ‘Kunyit’ bukan sesuatu yang ralat bagi Sema, malah tetap berbangga menggunakan nama tersebut walaupun sering dikaitkan dengan sayur-sayuran atau 'bahan masakan di dapur'.
Baginya, ia tidak perlu disembunyikan kerana dia yakin tidak ada yang memiliki nama sepertinya.

Walaupun di alam kanak-kanaknya ada terdengar suara nakal seolah-olah lucu dengan namanya, namun ia tidak sedikit pun membuatkan Sema kekok untuk mendedahkan nama tersebut apabila ditanya.
Sema, 45, berkata, pada zamannya nama-nama seperti itu bukanlah pelik, tambahan dalam masyarakat Orang Asli terdapat nama yang lebih unik, cuma mungkin bagi masyarakat luar ia kedengaran agak pelik.

“Dalam masyarakat Orang Asli, ia biasa, ada nama lebih pelik seperti nangka, rambutan, jambu dan sebagainya,” katanya.
Walaupun nama Sema sendiri tidak mempunyai apa-apa makna, namun keunikan nama bapanya, Kunyit sentiasa menarik perhatian dan akan disebut beberapa kali terutama bagi mereka yang pertama kali menemuinya.

“Mungkin mereka beranggapan tersalah dengar atau tidak yakin dengan apa yang didengari kerana sayur-sayuran dijadikan nama, bukan gelaran semata-mata,” katanya.
“Begitu juga bagi mereka yang pertama kali melihat pengenalan diri saya, ada yang tersenyum, mungkin hairan dan sebagainya. Walau apa pun alasan mereka, saya tetap berbangga dengan nama tersebut kerana ia diberikan kedua orang tua,” katanya.

Sema berkata, dia mahupun dua adik beradiknya yang masih hidup, Rohani dan Rojnah tidak pernah bertanya arwah bapanya tentang asal usul nama Kunyit itu kerana berpendapat tidak ada yang pelik mengenainya.
Menurutnya, ramai cuba membongkar kisah di sebalik namanya, namun segalanya terhenti di pertengahan jalan kerana pemilik namanya juga sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Tidak ralat berbintikan ‘Kunyit’
Sema (kiri) bersama Rohani (tengah) tidak pernah cuba merungkai kisah di sebalik nama mereka.
Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa) Jeli, Muhamad Roseli Che Daud berkata, kewujudan nama-nama pelik dalam kalangan Orang Asli satu ketika dahulu bukanlah suatu yang asing.

Bagaimanapun katanya, kini, tidak ramai yang diberi nama-nama pelik seperti nama buah dan tempat, mungkin disebabkan tahap perkembangan pengetahuan mereka yang semakin luas dari semasa ke semasa.
“Pemilik nama pelik yang ada hari ini kebanyakannya lahir antara 1970-an hingga 1980-an. Selepas tempoh berkenaan, kita boleh nampak perubahan tersebut dan tidak ada lagi nama-nama buah, sayur-sayuran atau tempat yang dijadikan nama anak-anak mereka,” katanya.

Muhamad Roseli berkata, terdapat empat perkampungan Orang Asli di Sungai Rual iaitu Kampung Seberang, kalok, Pentadbiran serta Manok dan hanya di Kampung Manok sahaja terdapat pemilik nama-nama unik ini.

“Antara nama-nama pelik dalam kalangan Orang Asli di Kampung Manok termasuklah Serai Bin Bunga, Lisak Bin Putih, Rambutan Bin Kubir dan Tanjung Bin Rambutan, Nangka serta banyak lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Pembantu Kurator Muzium Orang Asli Jeli, Mohd Azri Daud berkata, penggunaan nama pelik tidak begitu ketara dalam kalangan masyarakat Orang Asli sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana pihaknya banyak membantu.

Menurutnya, masih ada yang datang untuk mendaftar kelahiran dengan nama-nama buah dan sebagainya yang mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian mereka, tapi pihaknya mencadangkan nama lain yang lebih moden.
“Mereka akur. Tak ada masalah untuk nama anak-anak mereka diubah. Tapi kita akan dapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu.

“Cuma mungkin mereka masih belum tahu tentang nama-nama sesuai dan hanya menggunakan perkataan yang biasa dan ada kaitan dengan kehidupan harian mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment