Thursday, May 11, 2017

Tuduhan sabotaj ke atas Khairuddin, Matthias ditarik

11/5/17

Pihak pendakwa menarik balik pertuduhan terhadap Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang atas dakwaan sabotaj kewangan berkaitan aduan mereka di luar negara yang dibuat terhadap 1MDB.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata beliau telah menerima arahan untuk tidak meneruskan kes itu.
Oleh itu, pihak pendakwaan memohon pelepasan tanpa dibebaskan, katanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hari ini dijadualkan untuk perbicaraan bagi pertuduhan itu terhadap kedua-dua mereka, selepas Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan bersetuju pertuduhan itu tidak jatuh di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Peguam defendan akan memohon untuk pembebasan, kerana pelepasan tanpa dibebaskan akan membolehkan pihak pendakwa menuduhkan semula mereka.
Khairuddin dan Chang dituduh bersama-sama cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas.
Kedua-duanya berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Lima lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat Polis Cantoment, Singapura.

Mahkamah Tinggi pada 18 Nov tahun lalu, membenarkan mereka diikat jamin selepas memutuskan bahawa tuduhan yang dihadapi kedua-dua mereka bukan kesalahan keselamatan dan tidak tertakluk di bawah Sosma.

No comments:

Post a Comment