Monday, May 1, 2017

Usul putus hubungan: Majlis Syura akan mesyuarat secepat mungkin

 | May 1, 2017
Setiausaha Majlis Syura Ulama berkata, mesyuarat itu akan diadakan secepat mungkin bagi merungkai kekeliruan dan tanda tanya di kalangan ahlinya berhubung hubungan 2 parti itu.
zawawi
ALOR SETAR: Majlis Syura Ulama PAS akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin bagi membuat keputsan muktamad sama ada parti itu akan meneruskan atau memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh berkata, ia sekaligus dapat merungkai kekeliruan dan tanda tanya ahli PAS berhubung hubungan 2 parti itu.
“Majlis Syura baru sahaja menerima 1 usul yang begitu besar daripada (Dewan) Ulama.

“Majlis Syura akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk merungkai kekeliruan melibatkan usul putus hubungan dengan PKR,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata, tidak kira apa keputusan itu, semua ahli PAS perlu mematuhi arahan parti dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Saya harap seluruh ahli ‘wala’ kepada Majlis Syura dan pucuk pimpinan PAS dalam menentu hala tuju pentadbiran PAS,” katanya.

Semalam, perwakilan PAS sebulat suara menerima usul memutuskan tahaluf siyasi dengan sekutunya PKR. Ia selepas usul sama yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulama dan Pemuda, pada Khamis serta Jumaat lalu.
Usul itu seterusnya diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.

Dalam usul yang dibentangkan wakil Dewan Ulama PAS, Zulkifli Ismail, PKR dituduh melanggar syarat tahaluf siyasi seperti menyokong Amanah dan menentang PAS pada pilihan raya, serta dilihat bersama membantah usul rang undang-undang persendirian yang dibawakan Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.
PKR juga dituduh bersikap biadab dan celupar terhadap PAS, “sekaligus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan”.

1 comment:

  1. Kalau la MSU tak luluskan usul itu, ianya bercanggah dengan kehendak ahli.
    Sekiranya diluluskan, maka menangislah penjawat2 lantikan kerana terpaksa memberhentikan diri sendiri. Siapa yang akan membiayai kehidupan mereka selepas ini?
    Maka tidak mustahil laa, parti bulan akan berpecah lagi sekali gara2 pemimpin setengah masak khayal dengan pujuk rayu musuh tradisi yang dah tk jadi musuh sejak ruu355!!

    ReplyDelete