Friday, June 9, 2017

Anwar Ibrahim mohon dibebaskan

 Anwar Ibrahim mohon dibebaskan
Anwar selaku plaintif memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguamnya N. Surendran hari ini dengan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
 
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memfailkan permohonan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan liwat.

Kali ini beliau mendakwa tidak mendapat perbicaraan yang adil susulan pendakwaan dikendalikan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Anwar selaku plaintif memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguamnya N. Surendran hari ini dengan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Melalui saman itu, Anwar mendakwa perbicaraan kes liwat yang dihadapinya dikendalikan peguam yang dilantik oleh pendakwa raya yang bertentangan dengan amalan biasa kamar peguam negara dan pendakwa raya.

Dakwanya, peguam tersebut iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengendalikan kes dengan sikap melampau dan tidak adil, yang bercanggah dengan prinsip amalan pendakwaan.

Menurutnya beliau baharu mendapat tahu bahawa Muhammad Shafee dibayar RM9.5 juta oleh Datuk Seri Najib Razak dan menyifatkan peguam tersebut bukan pendakwa yang bebas kerana mempunyai kepentingan kewangan secara langsung.

"Sebagai orang yang dituduh, saya berhak mendapat perbicaraan yang adil di semua peringkat proses penghakiman termasuk pendakwaan oleh peguam yang bebas dan tidak terpengaruh oleh pihak ketiga melalui dorongan berbentuk kewangan," katanya.

Tambahnya, kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri semasa di parlimen bahawa Muhammad Shafee dibayar RM1000 bagi mengendalikan pendakwaan tidak tepat, kerana hakikatnya dibayar sebanyak RM9.5 juta melalui dua peringkat.

Sehubungan itu, Anwar menuntut deklarasi bahawa sabitan oleh Mahkamah Rayuan atas pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan bertarikh 7 Mac 2014 dan perintah Mahkamah Persekutuan bertarikh 10 Februari 2015 yang mengesahkan perintah mahkamah rayuan  adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan terbatal.

2 comments:

  1. Semoga berhasil. Lawan tetap lawan. Insya-Allah. Amin.

    ReplyDelete
  2. terdapat Unsur RASUAH dlm kes Liwat Anwar.silap silap Hakim oun terlibat sama.Harap KPN KHALID TIDAK BERAT SEBELAH MENYIASAT KES RASUAH SHAFEE INI.GO PDRM GO

    ReplyDelete