Thursday, June 22, 2017

Azhar pertimbang jika diminta jadi CEO FGV

 | June 21, 2017
Azhar yang melepaskan jawatan pengarah urusan kumpulan Malakoff Corp Bhd semalam dikatakan akan menjadi CEO syarikat Felda itu.
Azhar-Abdul-Hamid-fgv-kelapa-sawitPETALING JAYA: Datuk Azhar Abdul Hamid menepis desas-desus mengatakan beliau akan menggantikan Datuk Zakaria Arshad sebagai ketua pegawai eksekutif Felda Global Ventures Berhad (FGV).
Bagaimanapun, New Straits Times melaporkan Azhar sedia menimbangkan perkara itu jika diminta.
“Sudah tentu saya akan pertimbangkannya jika diminta untuk bantu, kerana ia mengenai kebajikan Felda dan peneroka,” katanya kepada akhbar itu hari ini.

Ia susulan laporan sebelum ini yang Azhar, yang melepaskan jawatan pengarah urusan kumpulan Malakoff Corp Bhd semalam akan menjadi CEO syarikat Felda itu.
Edge Financial Daily memetik sumber mengatakan Azhar pilihan baik kerana latar belakang dalam sektor peladangan.

Azhar, yang terlatih sebagai akauntan bertauliah, dilantik pengarah urusan Malakoff Corp Bhd pada 1 Mei 2016. Sebelum itu, beliau adalah presiden dan pengarah urusan kumpulan Tradewinds Corp Bhd, sebelum melepaskan jawatan pengerusi.

Beliau berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di syarikat seperti Malaysian Co-Operative Insurance Society Ltd, Pernas International Holdings Bhd dan Tractors Malaysia Holdings Bhd.
Beliau adalah pemangku presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan menyelia operasi keseluruhan Kumpulan Sime Darby sehingga Ogos 2010 sebelum menyertai Mass Rapid Transit Corp sebagai ketua pegawai eksekutif pada 2011. Beliau berkhidmat sehingga 2014.

Pada 12 Jun, akhbar mingguan Edge Malaysia melaporkan Azhar mendahului 2 calon lain untuk jawatan itu. Akhbar itu menamakan Ismee Ismail, bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Haji, dan Mohd Bakke Salleh, presiden dan ketua pegawai eksekutif Sime Darby Bhd, sebagai 2 lagi kemungkinan.

Zakaria, dan 3 eksekutif kanan lain, digantung tugas 6 Jun lalu dalam siasatan ke atas dakwaan luar aturan dalam urusjanji perniagaan antara syarikat Afghanistan Safitex Trading LLC dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment