Malaysiakini 4/6/17
ULASAN | DAP adalah sebuah parti
politik macam PAS dan parti-parti politik yang lain. Jika berkawan, ia
adalah dalam ruang politik demokrasi. Jika bermusuh, maka ia juga sama.
Ia amalan demokrasi sihat yang saling bersaing dengan matlamat memandu
negara kepada yang terbaik.
Apabila hubungan PAS-DAP putus, maka ia samalah dengan putusnya
hubungan politik di antara parti-parti yang berikat dan bersekutu
sebelumnya. Ada persetujuan dan permuafakatan, maka termeterailah
gabungan dan terhasillah kekuatan. Apabila wujud kekhilafan dan
pengkhianatan, maka terputuslah jalinan dan terhasillah perpecahan dan
mungkin kerugian juga.
Semua rakyat Malaysia berhak atas nama warga negara untuk menentukan
masa depan negara dan memilih apa yang mereka suka. Sama sahaja, sama
ada muslim atau non muslim, semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Semua
adalah warga negara yang sama dan setaraf.
Siapa pun akan mula dianggap sebagai musuh negara hanya apabila
mereka menentang perlembagaan negara. Saat itu, negara boleh bertindak
menghukum mereka sehingga mengharamkan sebarang gerakan atau parti
politik yang menentang perlembagaan negara. Ia seperti gerakan komunis
yang nyata menentang perlembagaan Malaysia.
Perlembagaan negara adalah akidah negara. Seperti diri mulia dengan
akidah dan sanggup mati kerana akidah dan kepercayaan, begitulah negara.
Maruah dan kemuliaannya adalah pada menjunjung perlembagaannya.
Untuk mengubah perlembagaan negara, rakyat perlu melalui dua perkara
utama. Pertama, majoriti terbesar di Dewan Rakyat iaitu dua pertiga.
Yang kedua, mereka perlu melakukannya dengan cara yang dibenarkan. Jika
tidak, segala usaha adalah salah dan tidak berperlembagaan.
Sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, kesemuanya mesti menjunjung perlembagaan dan undang-undang negara.
PAS dan DAP berhak mematlamatkan perjuangan masing-masing. Samalah juga parti-parti lain seperti Umno, PKR, MCA dan lain-lain.
Perjuangan DAP sah
DAP dengan dominasi non-muslim sudah pasti mahu memastikan negara
kekal sebagai sebuah negara sekular, bahkan menuntut lebih kebebasan dan
persamaan dalam agama dan bangsa.
Mereka secara langsung menolak wujudnya sebuah negara Islam yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai dan hukum-hukum Islam.
Selama ianya dalam ruang perlembagaan, maka perjuangan DAP adalah sah dan berperlembagaan.
PAS
sebagai sebuah parti politik yang berperinsipkan Islam sudah pasti mahu
memartabatkan agama itu sebagai agama persekutuan dengan menjadikannya
teras di dalam pembinaan negara.
PAS menolak amalan sekular yang awal dan akhirnya adalah memisahkan
negara daripada agama lalu meminggirkan peranan Islam untuk kebangunan
negara.
Ketika DAP berjuang dan berkempen dengan segala upaya mereka
bersenjatakan akal dan deklarasi hak-hak asasi manusia yang dituhankan,
PAS pula berjuang dan berkempen dengan segala upayanya bersenjatakan
akal dan wahyu.
Akal adalah bumi dipijak. Wahyu pula adalah langit dijunjung.
Kelebihan DAP ialah janji manis sebuah kemajuan, kebebasan dan
kesamarataan. Kelebihan PAS ialah kewajiban agama yang mesti
dilaksanakan iaitu tugas khilafah di muka bumi Allah yang menuntut
kemajuan, keadilan dan kebebasan daripada selain Allah bagi seluruh
rakyat.
Ia adalah pertentangan yang nyata di antara PAS dan DAP. Tiada
masalah. Ia masih dalam ruang lingkup perlembagaan negara. Masing-masing
berjuang di atas lunas demokrasi yang dibenarkan.
PAS dan DAP pernah diadukan oleh musuh politiknya untuk diharamkan.
Tetapi perlembagaan negara menolak kerana tiada sebab, bahkan nyata
masih bergerak dan beroperasi di atas lunas-lunas demokrasi negara.
Justeru apa isunya PAS dan DAP? Mengapa berpakat dan mengapa bermusuh?
Ya, berpakat kerana bersama berjuang membuang halangan yang tidak
demokratik. Kezaliman pemerintah Umno BN dalam banyak perkara adalah
kesalahan dan perlecehan terhadap rakyat dan negara.
Ia menutup hak rakyat dan menghalang parti pembangkang daripada mara untuk diterima oleh rakyat.
Ya, berpecah dan bermusuh adalah kerana pengkhianatan terhadap
perjanjian persefahaman bersama. Toleransi awal tidak mampu lagi
dikekalkan.
Bukan pendakwah kalau 'mandul'
Siapa betul dan siapa bersalah? Biarkan rakyat mendengar dan
memutuskan. Masing-masing berhak berhujah. Rakyat yang budiman dan
enggan ditipu dengan fitnah sudah pasti akan memilih yang terbaik untuk
mereka dan negara mereka.
DAP memusuhi Islam? Bukan hanya DAP. Siapa pun yang menghalang umat
Islam untuk bebas beramal dengan agama mereka sepenuhnya di negara
mereka, maka mereka adalah musuh Islam. Siapa pun..
DAP diperangi? Musuh mulut diperangi dengan mulut. Musuh media
diperangi dengan media. Musuh senjata diperangi dengan senjata. Tiada
melampau dalam beragama.
Kewarganegaraan
adalah perjanjian keamanan di antara sesama rakyat untuk hidup bersatu
menjunjung perlembagaan dan undang-undang negara. Dalam politik dalaman
negara, permusuhan bukan bererti peperangan. Ia adalah pertentangan bagi
memilih yang terbaik untuk negara.
Di mana dakwah?
PAS adalah pendakwah dan pejuang untuk agamanya. Rasulullah SAW
adalah pendakwah memujuk dan menerangkan kepada Abu Jahal dan Abu Lahab
di perbandaran Mekah.
Di medan perang Badar, baginda adalah pejuang yang menghunus pedang ke atas Abu Jahal dan Abu Lahab.
Dalam musuh menerima dan memberi keamanan, kita adalah pendakwah.
Dalam musuh menghalang dan memfitnah, kita adalah pejuang yang
mempertahankan agama. Usah menggelar diri sebagai pendakwah kalau kecut
dan mandul untuk menjadi pejuang.
Dr Zakir Naik adalah bintang kejora di dunia hari ini. Dia menjadi
lampu buat semua manusia - muslim dan non-muslim - yang mencari-cari
kebenaran hakiki. Dia pendakwah. Tetapi dia memerlukan para pejuang yang
mesti mempertahankankan haknya untuk terus berdakwah dengan penuh aman.
Siapakah yang mampu mempertahankannya daripada ancaman dan konspirasi
besar musuh Allah kalau bukan sebuah negara Islam atau sebuah kekuatan
yang besar daripada pejuang Islam?
Akhir, biarkan PAS dan DAP bersama parti-parti lain berjuang dengan
matlamat masing-masing di atas lunas-lunas perlembagaan tanpa halangan
yang menyalahi demokrasi yang adil.
Ingat, jangan langgar perlembagaan negara. Peringatan ini adalah buat
Umno dan DAP. PAS dengan matlamat Islam yang agung, insya-Allah akan
kekal di landasan perjuangan yang sah di sisi undang-undang ke arah
negara sejahtera menuju keredaan Allah.
NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ ialah anggota parlimen Pasir Mas dan ahli jawatankuasa pusat PAS.
Rencan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment