Wednesday, June 7, 2017

Henti bandingkan Malaysia dengan negara mundur, kata Suaram

 FMT| June 6, 2017
Pengarah eksekutif Sevan Doraisamy berkata Malaysia perlu dibandingkan dengan negara maju untuk melihat sejauh mana pencapaian negara.
Sevan-Doraisamy_suaram_rakyat_600
KUALA LUMPUR: Pertubuhan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata rakyat tidak boleh membandingkan Malaysia kepada negara mundur jika mahu mencapai status negara maju.

Pengarah Eksekutif Sevan Doraisamy berkata penunjuk utama tahap kemajuan sesebuah negara adalah hak asasi manusia.
Oleh itu sejauh mana Malaysia ke depan atau mundur bergantung kepada negara yang dijadikan sebagai perbandingan, katanya.

“Kalau kamu bandingkan Malaysia dengan negara mundur, kita jauh lebih baik. Tetapi kalau kita mahu jadi negara maju, kamu tidak boleh bandingkan diri kita dengan negara mundur tetapi dengan negara maju,” katanya di sesi soal jawab pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia 2016.

Sevan berkata masih banyak kekurangan dari aspek hak asasi manusia, termasuk bilangan kematian dalam tahanan.

“Perhatikan kematian dalam tahanan, contohnya. Kita mendaftarkan 5-6 kematian pada separuh tahun ini sahaja dan ini keadaan yang tidak baik.”

Suaram hari ini mengakui ia tersalah lapor bilangan kematian dalam tahanan polis dalam Ringkasan Laporan Hak Asasi Manusia 2016 yang dilancarkan Disember tahun lepas. Sebelum ini mereka melaporkan 2 kematian, tetapi dalam Laporan Hak Asasi Manusia 2016 hari ini, ia melaporkan 15 kematian.

Selain kematian dalam tahanan, Sevan berkata sukar mendapatkan statistik tepat kerana ketiadaan kebebasan maklumat.
“Dalam hal kematian di pusat tahanan imigresen, sukar untuk kami dapatkan angkanya. Imigresen tidak ada statistik tahunan mengenai berapa ramai yang mati. Mengapa tidak ada?

“Begitu juga, tiada laporan tahunan dari kementerian dalam negeri atau polis mengenai berapa ramai mati dalam tahanan atau berapa ramai orang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas). Tiada kebebasan maklumat. Ini penunjuk utama untuk melihat sejauh mana pencapaian kita dari segi hak asasi manusia.”

No comments:

Post a Comment