Kementerian Kesihatan mengakui berlaku kesilapan dan kecuaian dalam
kes penyerahan satu mayat di Hospital Kajang dua hari lalu, kata
Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Beliau berkata kejadian serupa berlaku tiga bulan lalu di Hospital
Pulau Pinang dan pihaknya telah menyemak semula Operasi Prosedur
Standard (SOP) berhubung penyerahan mayat.
Katanya satu siasatan rapi sedang dijalankan dengan mengambil
keterangan kakitangan dan pengawai perubatan di rumah mayat hospital itu
(Hospital Kajang) dan ia dijangka siap secepat mungkin.
"Kita memang minta maaf sebab perkara itu sepatutnya tidak berlaku.
Semua SOP sudah disemak semula. Tidak tahu bagaimana perkara itu
berulang di (Hospital) Kajang.
"Kalau ada bukti kecuaian dan apa sebab ia berlaku, kita akan ambil
tindakan tatatertib termasuk menggantung tugas," katanya kepada media
pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Yahya
dengan Warga Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari Ini.
Dr Subramaniam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes
kesilapan bersabit penyerahan mayat seorang mualaf yang bernama Hassan
Abdullah, 74, atau nama asalnya Lin Ah San @ Lim Ah San kepada sebuah
badan kebajikan yang menyebabkan mayat itu disempurnakan mengikut agama
Buddha.
Menurutnya, perkara itu dilihat sebagai isu sensitif kerana
melibatkan isu agama dan tidak seperti kes di Pulau Pinang itu yang
melibatkan dua agama.
"Kali ini berbeza kerana ia melibatkan emosi memandangkan isu jenazah
dekat di hati khususnya saudara mara berkaitan. Saya amat sedih atas
kejadian itu.," katanya.
Ditanya bila laporan siasatan akan siap, Dr Subramaniam berkata
siasatan itu yang diketuai oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr
Noor Hisham Abdullah dan ia dijangka dapat disiapkan segera kerana ia
bukan merupakan kes siasatan yang panjang.
-Bernama
No comments:
Post a Comment