Malaysiakini 21/6/17
Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa video
terbaru Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong itu adalah satu
tamparan besar buat rakan sejawatnya di Malaysia.
Katanya, Lee sanggup memohon maaf kepada rakyat Singapura berhubung
perbalahan dengan adik beradiknya mengenai isu tanah rumah kediaman
bapanya, Lee Kuan Yew yang telah mencemarkan integriti keluarganya,
rakyat, negara dan dan parti PAP.
“Beliau menjanjikan kepada rakyat Singapura untuk mengadakan full public hearing dalam
Parlimen Singapura bulan depan bagi membolehkan anggota pembangkang dan
juga anggota partinya sendiri untuk menyiasatnya secara bebas dan
beliau bersedia untuk menjawabnya.
“Sesiapapun yang melihat video ini, pasti akan bertanya dalam hati
kenapa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi
pelbagai tuduhan kotor tidak sanggup untuk melakukan apa yang mahu
dilakukan oleh Perdana Menteri Singapura itu,” katanya dalam satu blog.
Bekas menteri itu yang lebih mesra dikenali sebagai Zam, berkata
walaupun jaminan Lee itu belum dilaksanakan, tetapi kenyataannya sekali
gus memulihkan penghormatan dan keyakinan rakyat terhadapnya.
Menurutnya, ini menunjukkan bahawa Lee memahami penilaian rakyat
terhadap kepimpinan Singapura dan kerana sebab itu, beliau bersedia
berdepan dengan mereka rakyat untuk melenyapkan sebarang prasangka buruk
dan memperkuatkan lagi kedudukannya.
“Video
ini adalah satu tamparan yang sangat hebat kepada Najib dan barisan
pertahanannya yang dilihat lebih mengutamakan sandiwara politik untuk
mengekalkan kuasa dan takut untuk menampilkan kejujuran politik bagi
mengekalkan kuasa,” katanya.
Isnin lalu, Lee memohon maaf
kepada warga Singapura kerana berasa malu atas perbalahan antara beliau
dan adik-beradiknya yang tertumpu kebanyakan kepada rumah mendiang bapa
mereka, yang terletak di No 38, Oxley Road.
Beliau berkata, rakyat Singapura telah terganggu dan keliru dengan
berita mengenai perbalahan peribadi antara adik-beradiknya dan berjanji
akan melakukan segala yang mungkin untuk mengelakkan situasi itu.
No comments:
Post a Comment