Monday, June 26, 2017

Kuala Lumpur jadi tuan rumah Sukan SEA kali keenam

Kuala Lumpur jadi tuan rumah Sukan SEA kali keenam
Skuad bola sepak Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas Sukan SEA 2011 yang berlangsung di Indonesia.
TAHUN 2017 menjadi detik sejarah buat Malaysia apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukan SEA yang akan berlangsung mulai 19 hingga 31 Ogos dan Sukan Para Asean bermula 17 hingga 23 September.

Malaysia memilih tema 'Bangkit Bersama' dengan menggunakan maskot yang diberi nama 'Rimau' dipilih bersandarkan kepada kekuatan spesies harimau tempatan, Harimau Malaya.
Sementara reka bentuk logo temasya, yang dipilih daripada 174 penyertaan pertandingan mencipta logo tahun ini adalah berdasarkan kepada simbol Wau Bulan, layang-layang yang terkenal dimainkan oleh penduduk Pantai Timur.

Kombinasi warna yang digabungkan pada logo berkenaan pula mewakili warna-warni panji-panji semua negara Asia Tenggara, sekali gus melahirkan identiti Kuala Lumpur 2017.
Tahun ini merupakan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah selepas pertama kalinya pada tahun 1965 sebelum disusuli pada tahun 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Sukan SEA paling diingati

Namun, Sukan SEA 2001 pasti akan menjadi ingatan bukan sahaja kerana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah tetapi juga kerana pencapaian 111 pingat emas yang diraih oleh atlet negara.
Pungutan pingat itu sekali gus merupakan pungutan tertinggi pembabitan kontinjen negara di temasya dwitahunan rantau ini.

Pada temasya 2001 itu, kontinjen negara juga mencatat 75 pingat perak dan 85 gangsa dan peningkatan terus dicatat oleh atlet negara pada temasya Sukan Sea seterusnya.
Sementara itu, Sukan SEA Vietnam pada tahun 2003 menyaksikan Malaysia memungut 43 pingat emas diikuti dengan 61 pingat emas di temasya Manila 2005.
Bagaimanapun, pencapaian terbaik negara di luar Kuala Lumpur ialah di Sukan SEA Korat 2007 apabila meraih 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.

Penantian 20 tahun berbaloi
Bagi pencinta sukan bola sepak pastinya mengingati detik sejarah di Sukan SEA Laos 2009 apabila pasukan bola sepak negara menamatkan penantian kilauan pingat emas selama 20 tahun dengan memenangi ibu segala pingat emas temasya berkenaan.

Secara keseluruhan jumlah pungutan pingat emas merosot kepada 40 pingat emas sahaja kerana kurangnya jumlah sukan yang dipertandingkan selain tuan rumah mempertaruhkan banyak jenis sukan tempatan.
Pada tahun 2011, Sukan SEA yang berlangsung  Jakarta dan Palembang, Indonesia pula menyaksikan negara memungut 58 pingat emas dan paling menggembirakan ialah apabila berjaya mempertahankan pingat emas sukan bola sepak, apabila menewaskan pasukan tuan rumah di final.

Temasya Sukan SEA 2013, Nay Pyi Taw, Myanmar pula menyaksikan kontinjen negara telah melepasi sasaran dengan meraih 43 pingat emas, 38 perak dan 77 gangsa. Namun, Malaysia kehilangan 28 pingat emas ekoran daripada pihak tuan rumah yang tidak mempertandingkan sukan-sukan yang menjadi kekuatan kontinjen Malaysia.

Temasya Sukan SEA/SEAP merupakan temasya sukan dwitahunan yang dipertandingkan di antara negara-negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SGF).
Sebanyak sepuluh (10) negara menjadi anggota dan temasya ini juga turut menjemput Negara Timor Leste untuk turut mengambil bahagian.

Temasya ini telah dianjurkan sejak tahun 1959 yang dikenali sebagai Sukan Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) telah ditukarkan nama kepada Sukan SEA apabila Indonesia, Brunei Darussalam dan Filipina menganggotai Persekutuan Sukan SEA (SGF) pada tahun 1977.
Temasya ini telah dianjurkan secara bergilir-gilir di antara negara-negara SGF.

No comments:

Post a Comment