Thursday, June 8, 2017

Lelaki mengamuk tak dapat BR1M

Sinar Harian
PDRM
BESUT - Gara-gara marah tidak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), seorang lelaki mengamuk dan bertindak menetak kereta milik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) di Kampung Gong Duek, Hulu Besut petang semalam.

Ekoran tindakan ganas itu, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan menggunakan pistol 'taser gun M26C' tetapi tidak berkesan sehinggalah lelaki berusia 30-an itu melarikan diri ke dalam hutan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian itu, lelaki terbabit dilihat mengalami gangguan emosi dan cuba mengugut kedua-dua ibu bapanya yang berusia 80-an bagi mendapatkan wang.

"Apabila cuba ditenteramkan, suspek beralih pula untuk meminta wang daripada Pengerusi JKKK itu dan dia bertambah marah apabila permintaannya tidak dilayan," kata Mohd Zamri kepada media di sini hari ini.

Mohd Zamri berkata suspek yang berang telah menuduh mangsa tidak melayani permohonan wang BRIM yang dipohonnya sebelum ini, hingga mengambil tindakan menetak bahagian belakang kereta Proton Wira kepunyaan mangsa.

"Walaupun empat tembakan dilepaskan ke atas tubuh mangsa termasuk pancutan air oleh Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang datang membantu, suspek masih tidak dapat ditangkap tetapi sebaliknya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

Katanya, suspek mempunyai tiga kesalahan lampau termasuk Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan pihak polis meneruskan usaha untuk memberkas suspek hari ini setelah memberhentikan operasi, menjelang berbuka puasa semalam. - Bernama

No comments:

Post a Comment