Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000
dengan seorang penjamin serta menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan
kes.
ALOR
SETAR: Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti Jabatan Kemajuan
Masyarakat (Kemas) Putrajaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen
di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM159,053.22
membabitkan dua pertuduhan.
Mohd Adnan Md Daud, 54, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan
kepadanya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh melakukan kesalahan itu ketika
bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Kemas Selangor, didakwa menerima
suapan RM73,000 daripada Sah Hizam Halim bagi melantik syarikat milik
Sah Hizam iaitu Perniagaan Naluri Pertama menjalankan kerja membekal
susu tepung kepada Tabika dan Taska Permata.
Tertuduh juga melantik syarikat Alpha Elite Resource yang juga milik
Sah Hizam untuk menjalankan kerja membekal serbuk malt coklat kepada
Tabika dan Taska Permata.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Alor Setar pada 14 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Adnan didakwa menerima rasuah berjumlah
RM86,053.22 daripada Sah Hizam bagi melantik 5 syarikatnya iaitu
Perniagaan Naluri Utama, One Blue Diamond Enterprise, Golden North
Enterprise, Malbery Enterprise dan LD Dinamik Enterprise bagi kontrak
pembekalan pelbagai barangan untuk Tabika.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu pada 7 Januari 2015 di Maybank Alor Setar.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun
dan denda tidak kurang 5 kali ganda.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar menawarkan jaminan
RM100,000 dan seorang penjamin, bagaimanapun wakil kepada peguam
tertuduh Abdul Hadi Ahmad memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan
tertuduh perlu menyara 8 anak, seorang daripadanya bayi berusia 55 hari.
Malah akaun bank tertuduh juga sudah dibekukan sejak 5 bulan lalu.
Mahkamah kemudiannya membenarkan dia diikat jamin RM80,000 dengan
seorang penjamin serta menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan kes.
FMT
No comments:
Post a Comment