Malaysiakini 16/6/17
PKR hari ini mencadangkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak yang terpalit dengan pemfailan mahkamah terbaru oleh Jabatan
Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung skandal 1MDB supaya bertindak
balas jika dakawaan berkenaan adalah tidak benar.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, Peguam
Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dan Setiausaha Akhbar Najib, Datuk
Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad sekadar mengulangi penafian mereka.
“Sekiranya
apa yang dikata Apandi benar, iaitu tidak wujud sebarang unsur jenayah
dalam pengurusan dan pentadbiran syarikat 1MDB seperti yang didakwa
dalam kes DOJ itu, maka pemfailan DOJ itu adalah palsu semata-mata.
“Oleh itu, Putrajaya dan Wisma Putra tidak patut membenarkan nama
baik negara dan jawatan Perdana Menteri diheret dan dipalit sebegini
rupa dan perlu segera memanggil duta besar Amerika Syarikat untuk
memberi penjelasan,” katanya.
Fahmi seterusnya mencadangkan kepada Pemuda Umno dengan diketuai
Khairy Jamaluddin supaya segera mengadakan demonstrasi mega di hadapan
kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Selain itu, katanya, Umno juga perlu melancarkan boikot besar-besaran
terhadap produk dan perkhidmatan dari Amerika Syarikat sebagai tanda
terhadap "motif terselindung" DOJ, seperti yang dibayangkan Tengku
Sariffuddin.
Siapa menipu?
Apandi hari ini menerusi satu kenytaan media bertegas bahawa pihak berkuasa Malaysia mendapati "tiada salah laku" berkaitan dengan 1MDB seperti yang didakwa dalam saman pelucuthakan DOJ itu.
Tengku Sarifuddin pula berkata, saman itu hanya relevan kepada
"manipulasi politik dalam negeri dan campur tangan" serta membayangkan
satu "motif yang melampaui objektif merampas aset."
Dalam pemfailannya yang ketiga, malam semalam, DOJ meletakkan jumlah yang diselewengkan pada AS$540 juta
dan sedang berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion dalam bentuk aset yang
dipercayai diperolehi melalui dana yang dicuri daripada 1MDB.
Antara senarai barangan yang cuba disita oleh DOJ, termasuk kapal layar, barangan kemas, berlian, rangkaian pusat kecergasan dan karya seni.
Najib berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk
kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh mereka
yang mahu menggulingkannya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, jika apa yang dikatakan DOJ adalah
tidak benar, mengapa kes-kes yang dibawa ke mahkamah di beberapa negara
termasuk Switzerland dan Singapura telah menampakkan individu-individu
yang terlibat dalam pengurusan perbankan termasuk transaksi kewangan
1MDB didapati bersalah.
Hantar delegasi
“Malah di Singapura dua di antara mereka diharamkan dari terlibat
dalam aktiviti perbankan seumur hidup oleh Monetary Authority of
Singapore.
“Jadi di sini rakyat Malaysia berhadapan dengan dua senario iaitu
sama ada DoJ tidak berkata benar, atau Peguam Negara dan Setiausaha
Akhbar PM tidak berkata benar.
“Kedua-duanya mempunyai implikasi atau kesan serius terhadap politik
dan sistem perbankan dalam negara dan di peringkat dunia,” katanya.
Menurut
Fahmi, peguam negara kini tidak lagi boleh berdolak-dalih dan perlu
segera menghantar delegasi untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak DOJ
untuk membuktikan di mahkamah kebenaran atau kepalsuan dakwaan
penyelewengan wang oleh 1MDB ini.
Malaysiakini hari ini melaporkan, saman sivil ketiga yang
difailkan oleh DOJ menyenaraikan secara terperinci tentang dakwaan
penyelewengan wang 1MDB.
Antaranya, DOJ mendakwa hartawan yang juga ahli perniagaan Jho Low
dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$9.9 juta bagi membeli barang
kemas untuk ibunya serta model Australia, Miranda Kerr.
Malah, AS$28.9 juta turut dibelanjakan untuk membeli barang kemas isteri Malaysian Official 1.
DOJ turut mendakwa, kapal layar mewah milik Low, "The Equanimity" dibeli menggunakan wang 1MDB.
Selain itu, dalam pemfailan tersebut, DOJ juga berkata,
sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan bagi membeli loket dan rantai
berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri Malaysian Official 1.
No comments:
Post a Comment