Friday, June 23, 2017

Ramai ahli Umno berbuka dengan Dr M di Kodiang

Malaysiakini 23/6/17
Selepas 14 tahun meletakkan jawatan sebagai ketua Umno Kubang Pasu, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya kembali untuk berbuka puasa di Kodiang – pekan kecil dalam parlimen itu.

Walaupun tidak lagi bersama Umno, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, ramai juga anggota parti lamanya yang hadir dalam acara itu.
“Ramailah juga ahli-ahli Umno Kubang Pasu yang hadir dalam acara iftar itu.
“Saya sedih kerana ramai lagi dari mereka yang masih berada dalam Umno,” kata bekas presiden Umno dan perdana menteri keempat itu.
Menurut maklumat di Facebook BERSATU, majlis berbuka puasa itu diadakan kelmarin di Masjid Jamek Kodiang bersama anaknya Datuk Seri Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah.

Menulis di blognya hari ini, Mahathir berkata, ucapannya dalam acara itu menjelaskan bahawa Umno sekarang bukan lagi seperti Umno yang pernah dipimpinnya.
Umno sekarang, katanya, dirampas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “untuk menjadi alat pelindung jenayah yang telah dan sedang dilakukan olehnya”.

Mahathir juga membangkitkan isu saman terbaru Jabatan keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS) untuk menyita aset berkaitan 1MDB, yang kali ini turut menyebut berkaitan loket mewah yang didakwa diberikan kepada “isteri Malaysian Official 1”.
Sementara itu, Mahathir juga menggesa anggota Umno supaya henti mengkhianati “Umno yang sebenar”.
“Tolaklah Najib dan keluarlah dari 'Umno Najib' untuk menyertai gerakan menjatuhnya dalam pilihan raya. Hentikan dari melindungi makhluk perosak ini.
“Tebuslah balik maruah Melayu, agama Islam,” kata anak Kedah itu.
Mahathir menegaskan matlamat Umno yang sebenar yang hari ini cuma berada dalam BERSATU.

No comments:

Post a Comment