Wednesday, June 21, 2017

Rozaimi ajak jumpa, Dusuki belum jawab


Malaysiakini 20/6/17
Penceramah terkenal, Dr Rozaimi Ramle, mengesahkan sudah menghantar jemputan untuk berdialog dengan pemimpin PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani, berhubung 'tuduhan tidak tepat' yang dikaitkan kepadanya.

Rozaimi yang merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, setelah mendengar sendiri klip video Ahmad Dusuki selama kira-kira empat minit itu, beliau berpendapat individu yang dimaksud anggota jawatankuasa PAS Selangor berkenaan adalah dirinya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Rozaimi memberitahu pihaknya sedang menunggu jawapan balas daripada Ahmad Dusuki sama ada bersetuju berdialog untuk menjernihkan keadaan atau tidak.
"Sekarang hanya menunggu respon selanjutnya dari pegawai peribadi beliau (Ahmad Dusuki).
"Mereka sudah dimaklumkan, cuma belum ada persetujuan dan kata putus. Pihak saya masih menunggu persetujuan," katanya.

Baru-baru ini tersebar klip video tazkira Ahmad Dusuki mengecam seseorang yang dinamakannya sebagai "mengaku pakar hadis" mempertikaikan kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Isu yang diperkatakan ialah kewajaran orang Islam membeli makanan daripada orang fasik (orang yang melakukan maksiat atau melanggar perintah Allah).

Dalam video berkenaan, Ahmad Dusuki yang memang turu terkenal sebagai penceramah agama melahirkan rasa pelik apabila "pakar hadis" berkenaan mempertikaikan kenyataan Tuan Ibrahim.

Ahmad Dusuki kemudian melahirkan kebimbangan sekiranya "pakar hadis" itu akan mempertahankan golongan lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) selepas ini.

Jom pergi solat
"Di pasar, ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man pesan, jangan kita beli dari tangan-tangan orang yang derhaka kepada Allah.
"Jangan kita sibuk nak beli makanan, kita dah beribadah dari pagi sampai petang, tiba-tiba kita habiskan pahala dengan beli makanan dari orang yang fasik, rugilah pahala kita.

"Tapi ada pula orang lain, ustaz, yang kata dia pakar hadis, dia pula marah pada ustaz Tuan (Ibrahim), cakap: janganlah sebut macam itu. Apa pandangan dia (peniaga) pula, keluarga dia pula.
"(Ustaz tu kata) macamlah kita berlagak suci sangat. Dia sebut sedemikian. Peliklah... patutnya kita kena sokong kenyataan demikian (oleh Tuan Ibrahim).

"Orang macam ini, sikit lagi akan pertahankan pula LGBT. LGBT tu, kata dia, kena bagi peluang pada dia (golongan berkenaan) dan sebagainya," kata Ahmad Dusuki dalam video berkenaan.
Ahmad Dusuki berkata demikian dipercayai selepas Rozaimi memberikan tazkirah yang memberikan pendapat tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan "seorang ustaz dari parti Islam".
"Saya tak setuju dengan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang ustaz dari parti Islam. Dia kata kalau bulan puasa jangan beli makanan dari orang yang tak solat, tak tutup aurat. Sia-sia saja puasa.

"Tuan-tuan, jangan macam itu. Sampai bila kita nak rasa kita golongan suci? Adakah Islam ajar kita untuk lihat orang lain sebagai orang yang lebih rendah martabatnya daripada kita?
"Salah dia, adalah salah dia. Tak ada kaitan dengan makanan. Patutnya kita beli makanan dia, dan kita nasihat elok-elok: bang bagus kamu berniaga cari rezeki, jom pergi solat.
"Kenapa kita nak boikot dia (peniaga). Lihat insan marhaen sebagai medan untuk cungkil bakat dia," kata Rozaimi dalam video yang turut dikongsi di Facebooknya.

Sehubungan itu, Rozaimi berkata, setelah mendengar video Ahmad Dusuki itu berkali-kali, beliau berpendapat terdapat maklumat yang tidak tepat yang disebut mengenai dirinya.
"Setelah mendengar videonya berkali-kali, jika benar ustaz tersebut maksudkan saya, maka didapati terdapat beberapa maklumat yang tidak tepat yang beliau ucapkan tentang saya.

"Ada juga andaian liar tanpa bukti yang beliau utarakan. Ada juga analisis beliau terhadap kenyataan saya yang perlu diluruskan.
"Dengan ini, saya dengan rendah hati ingin menawarkan dialog mesra bersama al-fadhil Ustaz Dusuki Abdul Rani untuk menjernihkan keadaan ini," tulis Rozaimi di Facebooknya.

Malaysiakini turut menghubungi Ahmad Dusuki untuk bertanyakan tentang hal sama, bagaimanapun beliau tidak memberikan sebarang respon.

2 comments:

  1. Hahaha...sorang lagi ostad cap bulan akan kena lepuk! Hari ni at-ttakanan dah kena.

    Bukan takat at-takanan, mr presideng parti islam pun tk sambut pelawaan drp seorang ahli agama yg bukan ahli parti Islam.

    Tu la....Perasan Alim dan Suci, padahal, Presiden Aku Sembrono!! Kah kah kah!!

    ReplyDelete
  2. Orang yang tak tutup aurat je ke berdosa sampai tak boleh beli makanan??

    Orang yang kebas duit rakyat buat filem lucah the wolf of the wall street kenapa berpeluk pula???

    Kalau ikut pandangan TITM orang yang paling kena boikot sekali ialah orang PAS!!! Sokong kaki maksiat!!!

    ReplyDelete