Monday, June 12, 2017

Sarawak tarik diri dari lembaga pelancongan: Nazri kata tiada kesan

FMT| June 12, 2017
Nazri Aziz bertanya mengapa baru sekarang Sarawak mempertikaikan cukai pelancongan selepas ia dibentang dan dibahaskan di Kabinet dan Parlimen.
nazri-sarawakPETALING JAYA: Datuk Seri Nazri Aziz hari ini tidak mengheboh-hebohkan keputusan Sarawak menarik diri dari Pelancongan Malaysia, menyifatkan keadaan akan “berjalan seperti biasa” dan tidak akan menjejaskan pelancongan di negeri itu.

“Saya boleh ganti mereka dengan orang lain,” kata Nazri kepada FMT, sehari selepas menteri pelancongan dan kebudayaan itu membidas menteri Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mempertikaikan culai pelancongan yang akan berkuatkuasa bulan depan.

Berikutan itu, kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan mereka menarik diri dari Pelancongan Malaysia, agensi persekutuan yang bertanggungjawab untuk mempromosikan industri pelancongan.

“Saya akan terus mempromosikan Sarawak walaupun tanpa wakil mereka. Itulah yang saya lakukan selama ini,” kata Nazri.
Pengumuman Sarawak itu menyusuli ketegangan akibat cukai pelancongan baharu tersebut yang bakal menyaksikan hotel mengenakan bayaran tambahan RM2.50 hingga RM20 bagi penginapan semalaman.

“Kerajaan negeri menganggap penyertaan wakilnya dalam Pelancongan Malaysia tidak lagi perlu kerana ia bertindih dengan peranan dan fungsi Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak,” kata pejabat ketua menteri hari ini.
Karim berkata cukai baru itu contoh kerajaan persekutuan mengenakan undang-undang cukai ke atas Sarawak tanpa berunding terlebih dahulu, dakwaan yang mengundang kemarahan Nazri.

“Anda (Karim) tidak perlu bercakap besar dalam politik. Jika anda mahu menunjukkan samseng, kita adalah samseng lagi besar,” kata Nazri.
Kenyataan itu dikutuk ahli politik kedua belah pihak di Sarawak. Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof mengecam Nazri kerana menghina Karim.

Untuk itu, Nazri berkata dakwaan Karim kononnya kerajaan persekutuan cuba merampas kuasa Sarawak juga menghina.
“Tuduhan itu tidak benar, jadi adakah dikira menghina juga? Adakah Fadillah fikir hanya rakyat Sarawak yang sensitif? Seluruh rakyat Malaysia tidak mempunyai hak untuk sensitif?

“Tidakkah dia fikir Karim sebagai menteri baru sepatutnya berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada saya, bukannya menipu dengan mengatakan ia adalah tipikal Malaysia Barat untuk merampas kuasa kerajaan negeri?”
Nazri menafikan tuduhan Putrajaya gagal berunding dengan Sarawak mengenai pelaksanaan cukai pelancongan.

Beliau berkata rang undang-undang Cukai Pelancongan pertama kali dibentangkan dalam jemaah menteri, yang ketika itu turut dianggotai Fadillah selaku menteri kerja raya, sebelum dibahaskan di Parlimen.
“Jadi kenapa kata kami mahu merampas kuasa Sarawak? Rang undang-undang itu dibahaskan di Parlimen dengan semua ahli Parlimen Sarawak hadir.

“Semasa kita membentangkan rang undang-undang cukai pelancongan, tidak terlintas di fikiran kita yang ia akan dilihat sebagai, atau digunakan untuk, mengambil alih kuasa rakyat Sarawak.
“Saya rasa kita semua perlu matang dan mula berfikir sebagai rakyat Malaysia,” kata Nazri.

No comments:

Post a Comment