Sinar Harian
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan
mengambil tindakan terhadap empat lelaki, termasuk tiga bergelar
"Datuk", kerana didakwa menyalahgunakan koperasi di bawah tanggungjawab
mereka, beberapa hari lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad ketika mengulas laporan
mengenai perbuatan menyalahguna kuasa dalam koperasi itu berkata:
"Tunggu dalam masa terdekat untuk SPRM ambil tindakan."
Ditanya sama ada empat lelaki itu akan ditahan atau direman dalam masa
beberapa hari lagi, tanpa memberi maklumat terperinci, Dzulkifli
menjawab: "InsyaALLAH".
Menurut laporan, lelaki berkenaan, kebanyakan mereka anggota lembaga
pengarah sebuah koperasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), didakwa
menyalahgunakan kedudukan mereka bukan sahaja untuk memperkenal sistem
pemasaran bertingkat (MLM) dalam koperasi itu, tetapi juga secara
teknikal memaksa anggotanya menyertai sistem berkenaan.
Menurut laporan, mereka yang memohon pinjaman akan hanya diberi kelulusan sekiranya mereka menyertai MLM itu.
Ini akan melibatkan RM6,700 wang mereka dan sebagai pulangan, mereka
akan mendapat produk kecantikan yang dikatakan bernilai sebanyak itu.
Dzulkifli menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengagihkan
bungkusan bubur lambuk di bazaar Ramadan di sini hari ini, bersempena
kempen Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (Gerah).
SPRM juga mengagihkan makanan itu kepada orang ramai di empat lokasi di
Putrajaya, termasuk Ibu Pejabat Polis Putrajaya, Jabatan Bomba dan
Penyelamat Putrajaya, Hospital Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal
Abidin.
Dalam perkembangan lain, Dzulkifli menafikan dakwaan bahawa seorang
pegawai polis yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan di
dahi di Ibu Pejabat Polis Pasir Puteh, mempunyai kaitan dengan SPRM.
"Tiada langsung laporan yang mengaitkan SPRM dengan kes itu," katanya
apabila diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut. - Bernama
No comments:
Post a Comment