Friday, June 2, 2017

Tentera, universiti tubuh jawatankuasa siasat kematian pelajar

 | June 2, 2017
Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang malam semalam dengan kesan lebam dan melecur di badan.
askarKUALA LUMPUR: Tentera dan Universiti Pertahanan Awam Malaysia (UPNM) menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat kematian seorang pegawai kadet laut UPNM semalam.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPNM Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata pihaknya bermesyuarat bersama bahagian pengurusan tertinggi tentera susulan kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21.

“Dalam mesyuarat tersebut, tentera dan UPNM bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat kematian allahyarham,” katanya kepada Bernama.
Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas ATM, Zulfarhan Osman berasal dari Johor Bahru dan merupakan penuntut tahun ke-3 jurusan kejuruteraan elektrik.

Penuntut UPNM itu meninggal dunia di Hospital Serdang dekat sini malam semalam dengan kesan lebam dan melecur di badan, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.
“Tentera memandang serius kejadian ini dan akan melaksanakan siasatan dalaman bagi mengetahui punca kejadian,” kata kenyataan Markas ATM itu.

Ia menegaskan tiada kompromi akan ditunjukkan ke atas mereka yang terlibat dalam apa jua pelanggaran undang-undang dan peraturan serta mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang berkenaan.
Ia seterusnya berkata polis turut melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

“Proses bedah siasat sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kematian,” kata kenyataan itu.
Tentera menyediakan bantuan bagi membawa jenazah ke kediaman waris di Johor Bahru dan menguruskan urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Kurnia, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kematian itu dan menyerahkan kepada pihak berkenaan melaksanakan siasatan. FMT

No comments:

Post a Comment