Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim berterima kasih kepada
Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengumumkan tidak akan menawarkan diri
sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk jawatan perdana menteri.
"Anwar telah membuat pengorbanan yang cukup besar, bergerak ke
hadapan untuk lebih banyak perkara utama bagi membentuk kerajaan baru,"
kata Zaid dalam blog beliau.
Baru-baru ini, ketua umum PKR itu berkata beliau berbuat demikian
demi menggalakkan HARAPAN memberi tumpuan kepada pilihan raya umum dan
bukannya bertelingkah mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri
jika pakatan pembangkang menang.
Dalam catatan yang sama, Zaid turut 'mengumumkan' senarai kabinet
bayangan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengikut firasat beliau bagi
membuktikan pembangkang bersedia untuk mengambil alih Putrajaya.
"Sementara menunggu pemimpin pembangkang untuk bersetuju siapa yang
patut menjadi perdana menteri, mengapa tidak selami senarai saya
mengenai anggota kabinet dalam kerajaan baru.
"Ia juga akan mengelakkan pertikaian baru daripada meletus di
kalangan semua pihak, yang hanya akan melemahkan pakatan rapuh ini,"
jelasnya.
Bagi jawatan perdana menteri, Zaid tetap dengan pilihannya seperti
sebelum ini bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan calon paling layak
untuk menduduki kerusi itu.
Bagi jawatan timbalan perdana menteri pula, Zaid mencadangkan ia
dibiarkan kosong sambil membayangkan Anwar mungkin sesuai menduduki
kerusi tersebut setelah proses pembebasan dan 'penempatan' beliau
selesai.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, katanya, wajar dinobatkan sebagai
menteri minyak dan tenaga dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas)
diletakkan di bawah kementerian itu, berlainan dengan sistem sekarang
yang mengamalkan kawalan perdana menteri secara solo ke atas firma
gergasi tempatan itu.
"Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dipinda untuk tujuan ini dan
isu berkaitan dividen Petronas dan kontrak besar yang diputuskan oleh
firma itu sahaja," ujarnya.
Zaid turut mencadangkan Datuk Seri Azmin Ali diangkat menjadi menteri
kewangan manakala pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pula menerajui
kementerian pendidikan.
Kementerian Dalam Negeri pula diberikan kepada pemimpin dari BERSATU, katanya.
Pada masa yang sama, Zaid turut memetik beberapa nama lain seperti R.
Sivarasa daripada PKR bagi menjadi peguam negara, Tony Pua dari DAP
diangkat menjadi menteri perdagangan serta Rafizi Ramli mengepalai
kementerian baru yang menjaga hal-ehwal MARA, Felcra, Risda, Felda and
Tabung Haji.
"Saya juga cadangkan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dari AMANAH
mengetuai kementerian baru yang menjaga hal-ehwal agama, Mohamad Sabu
dari parti yang sama menjadi menteri pertahanan dan kementerian
pengangkutan diserahkan kepada Liew Chin Tong dari DAP," tambah Zaid.
Nama-nama lain yang turut dicadangkan Zaid ialah Saifuddin Nasution
Ismail dari PKR untuk menjawat kerusi menteri telekomunikasi, sains dan
teknologi, pemimpin kanan BERSATU untuk jawatan menteri luar dan Nurul
Izzah Anwar mengambil alih kementerian Wilayah Persekutuan.
"Syed Saddiq Abdul Rahman wajar dilantik menjadi menteri belia dan
sukan manakala jawatan menteri pembangunan wanita dan perkembangan
kanak-kanak diberikan kepada pemimpin wanita DAP," katanya lagi.
Yang anehnya, Zaid langsung tidak menyebut nama ketua menteri Pulau
Pinang, Lim Guan Eng sama ada kekal di jawatan yang sama atau diangkat
untuk mengepalai mana-mana kementerian.
Zaid juga tidak menyebut nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam cadangan beliau mengenai kabinet HARAPAN itu.
Malaysiakini 19/6/17
No comments:
Post a Comment