Malaysiakini 5/7/17
Portal Sarawak Report dalam pendedahan terbarunya mendakwa
ada transaksi kononnya melalui akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.
Antara lain, ia mendakwa Najib membayar RM7 juta kepada "Ketua
Pengarah Perisikan Pertahanan (BSPP)" pada 8 April 2013, kira-kira
sebulan sebelum PRU yang diadakan pada 5 Mei 2013.
Dalam satu risalah e-mel, Sarawak Report berkata mungkin "Lt
Jeneral Datuk Abdul Hadi Bin Haji Hussin" boleh menjelaskan mengapa
perkhidmatan itu menerima cek peribadi daripada perdana menteri hanya
sebulan sebelum pilihan raya lepas.
BSPP adalah agensi perisikan bersama Angkatan Tentera Malaysia. Ia melaporkan terus kepada penglima angkatan tentera.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia berhubung dakwaan Sarawak Report itu dan sedang menunggu maklum balas.
Sarawak Report mendakwa angka-angka mengenai transaksi
tersebut datang daripada pasukan petugas bersama yang telah menyiasat
1MDB sejak Mac 2015 sehinggalah ia dibubarkan lima bulan kemudian.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan
tersebut, manakala 1MDB sebelum ini telah menyatakan bahawa tiada wang
yang telah disalahgunakan daripada dana tersebut.
Tergesa-gesa kerana bajet
Najib pula secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan berkata
berbilion ringgit yang ditemui dalam akaun banknya adalah "sumbangan"
daripada keluarga diraja Saudi, dan beliau telah dibersihkan oleh Peguam
Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Dua tahun lalu, dokumen yang dibocorkan yang dikatakan berasal dari
syarikat perisian Hacking Team yang berpangkalan di Milan, menunjukkan
BSPP sebagai antara pelanggannya untuk alat pengintipan dan pengawasan.
Agensi itu dirujuk sebagai “Malaysia Intelligence” atau MI, dalam
kebanyakan korespondennya yang dibocorkan, tetapi sekurang-kurangnya
satu e-mel merujuk kepada BSPP dan menamakan ketua pengarahnya sebagai
Abdul Hadi.
Satu lagi e-mel dalaman yang didakwa dibocorkan menyebut: "[Untuk
maklumat anda], alasan ia tergesa-gesa adalah kerana sebab-sebab bajet
dan juga kerana MI ingin menggunakan 'solution' kita semasa pilihan raya
yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan seterusnya."
E-mel bertarikh 6 November 2012 itu menjelaskan bahawa keadaan
tergesa-gesa untuk menyelesaikan transaksi itu adalah kerana BSPP perlu
melengkapkan bajetnya bagi 2012 pada 15 Disember tahun itu.
BSPP dikatakan membayar Hacking Team sejumlah €552,000 (RM2.7 juta) antara 2012 dan 2015.
Bagaimanapun, dokumen-dokumen yang dikatakan bocor itu menunjukkan
tiada transaksi berlaku pada 2013, iaitu apabila Najib didakwa membayar
Ketua Pengarah BSPP.
BSPP tidak mengeluarkan sebarang kenyataan umum mengenai kebocoran Hacking Team sejak ia berlaku pada 5 Julai 2015.
Pejabat Perdana Menteri, yang juga dikaitkan dalam kebocoran yang
sama, telah menafikan pembelian alat pengintipan daripada Hacking Team.
No comments:
Post a Comment