Saturday, July 29, 2017

Azizah: Pakatan mahu pulih keyakinan rakyat dirosak BN

 | July 29, 2017
Kata Presiden PKR itu, kini tugas bersama PH adalah untuk menambah ikhtiar dan program bagi memulihkan keyakinan masyarakat Melayu dan rakyat keseluruhannya.
Wan-Azizah-logo-pakatan-harapan1
PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai 4 parti gabungan, mahu memulihkan masyarakat Melayu dan rakyat keseluruhan terhadap sistem pentadbiran, sekali gus menepis “faham perkaumam yang dijaja oleh Umno.”

Presiden PH itu berkata, Umno yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) menjaja faham perkauman untuk melindungi jenayah dan penyelewengan khazanah negara seperti 1MDB.
“Malah lebih ketara adalah pengkhianatan amanah bangsa Melayu sepertimana yang berlaku dalam Felda dan FGV,” kata beliau dalam ucapan pada Simposium Pemikiran Anwar Ibrahim di Pulau Pinang hari ini.

“Dan, kini tugas kita bersama adalah untuk menambah ikhtiar dan program bagi memulihkan keyakinan masyarakat Melayu dan rakyat keseluruhannya,” kata beliau yang juga Presiden PKR.
Dalam ucapannya, ketua pembangkang itu berkata, semua pihak perlu berwaspada dengan fitnah yang akan berleluasa menjelang PRU14.

“Pihak penguasa tidak mampu memadamkan segala kerosakan hasil kegelojohan mereka. Harga barang tidak lagi terkawal dan keperitan hidup kian terasa; rasuah bermaharajalela dari kepala hingga trafik di tepi jalan. Sekali lagi fitnah akan menjadi senjata utama mereka,” kata beliau lagi.

Katanya, kewujudan institusi berwibawa menjadi kias perjuangan keadilan dan dalam gabungan PH.
“Kita berjaya menggembeleng tenaga dari pengalaman yang berbeda tetapi berpaut kepada tunggak reformasi – melawan kerakusan kuasa dan rasuah.

“Pakatan Harapan diasaskan landasan perjuangan yang jelas dan bukan untuk memenuhi agenda peribadi; meneruskan politik dendam kesumat atau mengembalikan dasar usang yang autotarian. Maka kehadiran Pakatan Harapan adalah untuk mendamba perubahan tidak harus dikaitkan dengan isu terbatas,” kata beliau.
Wan Azizah berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berusaha melaksanakan semangat muafakat tersebut meskipun kuasa negeri adalah terbatas.

“Tohmahan yang terus dilemparkan terhadap beliau dan DAP adalah dengan menggunakan kerangka perkauman yang lapuk. Bayangkan saja fitnah yang tersebar di merata desa bahawa tanah Melayu dirampas dan corong azan disumbat. Tanah milik Melayu di Pulau Pinang tinggal sekangkang kera sejak era Perikatan dan Umno-BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment