Malaysiakini 6/7/17
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan
sebarang perbincangan berkenaan Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu
dilakukan melalui mesyuarat Majlis Presiden.
Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika diminta mengulas
pertemuan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad di London.
"Sesiapa sahaja boleh berjumpa Dr Mahathir (tapi) perbincangan perlu
dilakukan dalam semangat HARAPAN bukan individu. Mungkin Nurul Izzah ke
sana untuk berhari raya dengan Dr Mahathir.
"Saya tidak tahu tetapi saya tak rasa begitu (bincang pasal HARAPAN).
Jika kita berbincang berkenaan polisi dan hala tuju HARAPAN, ia mesti
dibincangkan dalam Majlis Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita
selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri PKNS di Pusat Konvensyen Shah
Alam.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan pertemuan antara Nurul Izzah dan
Mahathir di London yang dikatakan usaha menyelesaikan krisis struktur
kepimpinan HARAPAN yang sehingga kini gagal dimuktamadkan.
Izzah turut dilaporkan enggan mengulas kata sepakat yang diperoleh
menerusi pertemuan itu sehinggalah HARAPAN mengadakan mesyuarat dalam
waktu terdekat.
Senarai pimpinan termasuk pengerusi dan presiden diperlukan supaya
HARAPAN boleh berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS)
supaya boleh menggunakan satu logo dan bendera pada pilihan raya umum
akan datang.
“Sila tunggu mesyuarat rasmi HARAPAN yang akan diadakan tidak lama
lagi. Kami akan umumkan ketika itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
No comments:
Post a Comment