Friday, July 7, 2017

Azmin: Mungkin Izzah ke London untuk beraya dengan Dr M

Malaysiakini 6/7/17
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan sebarang perbincangan berkenaan Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu dilakukan melalui mesyuarat Majlis Presiden.
Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad di London.

"Sesiapa sahaja boleh berjumpa Dr Mahathir (tapi) perbincangan perlu dilakukan dalam semangat HARAPAN bukan individu. Mungkin Nurul Izzah ke sana untuk berhari raya dengan Dr Mahathir.
"Saya tidak tahu tetapi saya tak rasa begitu (bincang pasal HARAPAN). Jika kita berbincang berkenaan polisi dan hala tuju HARAPAN, ia mesti dibincangkan dalam Majlis Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan pertemuan antara Nurul Izzah dan Mahathir di London yang dikatakan usaha menyelesaikan krisis struktur kepimpinan HARAPAN yang sehingga kini gagal dimuktamadkan.
Izzah turut dilaporkan enggan mengulas kata sepakat yang diperoleh menerusi pertemuan itu sehinggalah HARAPAN mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.

Senarai pimpinan termasuk pengerusi dan presiden diperlukan supaya HARAPAN boleh berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya boleh menggunakan satu logo dan bendera pada pilihan raya umum akan datang.

“Sila tunggu mesyuarat rasmi HARAPAN yang akan diadakan tidak lama lagi. Kami akan umumkan ketika itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

No comments:

Post a Comment