Friday, July 21, 2017

Hakim tarik diri dengar kes rasuah Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
PUTRAJAYA - Kes rayuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung isu undang-undang yang dibangkitkan dalam pertuduhan rasuah pembelian rumah banglonya di Pulau Pinang akan didengar di hadapan panel baharu.

Ia susulan Mahkamah Rayuan semalam, membenarkan permohonan Guan Eng dan Li Koon melalui peguam masing-masing supaya salah seorang panel hakim iaitu Tan Sri Idrus Harun menarik diri daripada mendengar kes tersebut.
“Selepas mempertimbangkan hujah peguam, kami mendapati terdapat merit dalam permohonan tersebut. Saya dengan ini menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan,” kata Idrus.

Panel yang dipengerusikan Datuk Umi Kalthom Abd Majid, selain turut dianggotai Datuk Abdul Rahman Sebli itu membenarkan permohonan lisan tersebut selepas peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng berhujah bahawa hakim berkenaan telah memutuskan isu sama sebelum ini seperti yang akan dibangkitkan.

Isu yang menjadi persoalan dikemukakan pihak perayu adalah berkaitan isu sama dibangkitkan dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan individu kebebasan seseorang.
Guan Eng dan Li Koon merayu keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memutuskan pendakwaan ke atas mereka di bawah Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai berperlembagaan dan sah.

Pada 7 Mac lalu, Guan Eng dan Li Khoon gagal dalam percubaan mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan mereka kerana seksyen itu tidak menghalang hak tertuduh mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama.

Li Koon diwakili peguam Datuk V Sithambaram.
Mahkamah menetapkan 7 Ogos untuk mendengar rayuan berkenaan.
Pada 30 Jun 2016, Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.
Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dipenjarakan maksimum dua tahun, denda dan rampasan hartanah

No comments:

Post a Comment