Tuesday, July 11, 2017

Mahkamah kekalkan ganti rugi RM350,000 Teresa Kok

Sinar Harian
Teresa Kok
Teresa Kok
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan ganti rugi RM350,000 yang diberikan kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim berhubung penangkapan dan penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA) pada 2008.Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memberikan ganti rugi itu kepada Teresa.

Dengan keputusan itu, kerajaan perlu membayar amaun itu kepada Teresa.

Panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard  Malanjum memutuskan permohonan kerajaan untuk kebenaran merayu itu tidak mempunyai merit.
Beliau turut memerintahkan kerajaan membayar RM10, 000 sebagai kos kepada Teresa. Dua lagi hakim yang bersidang ialah Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Kerajaan memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Julai tahun lepas yang memberikan RM200,000 sebagai ganti rugi am dan RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan teladan kepada Teresa.

Pada awal prosiding di mahkamah hari ini, Peguam Kanan Persekutuan  Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili kerajaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan tidak menyatakan alasannya secara spesifik dalam memberikan ganti rugi teruk dan teladan kepada Teresa.

Beliau turut memberikan contoh dua keputusan oleh Mahkamah Persekutuan yang bercanggah iaitu sama  ada ujian objektif dan subjektif digunakan untuk menentukan penangkapan dan penahanan seseorang itu.
“Kami berdoa yang permohonan kami dibenarkan untuk membolehkan kes ini dihujahkan dalam rayuan,” katanya.
Peguam S.N.Nair yang mewakili Teresa menjawab Mahkamah Rayuan telah memberikan alasan-alasannya dalam memberikan ganti rugi teruk dan teladan berikutan rasa terancam dialami anak guamnya.
Beliau berkata mahkamah perlu mengguna pakai ujian objektif yang telah ditentukan dalam kes Herald pada 2014.

Mahkamah Rayuan memberikan amaun itu kepada Teresa selepas membenarkan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan  samannya terhadap bekas Menteri Dalam Negeri  Tan Sri Syed Hamid Albar, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia berhubung penangkapan dan penahanannya di bawah ISA.

Mahkamah memutuskan kesemua empat responden telah gagal memberikan bukti  berwibawa dan mencukupi kepada mahkamah  bahawa pegawai yang melakukan tangkapan mempunyai alasan munasabah dan kukuh untuk menangkap Teresa.

Dalam penghakiman setebal 36 muka surat, ia menyatakan peruntukan undang-undang tidak patut digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengancam dan menakutkan mana-mana orang, tetapi hanya untuk tujuan dibenarkan undang-undang bagi memenuhi objektif tertentu.
Mahkamah turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman Teresa yang difailkan pada 13 Mac, 2009, mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan secara salah di bawah ISA.

Dalam kenyataan tuntutannya, Teresa berkata beliau ditahan oleh defendan di pintuk masuk ke kediamannya di  Pearl Tower, OG Heights pada 11.15 malam, 12 Sept, 2008, dan ditahan selama dua jam tanpa dibenarkan untuk menghubungi anggota keluarga terdekat atau peguamnya.

Teresa berkata pada  2 pagi, 13 Sept, 2008, di balai polis  Wangsa Maju beliau dimaklumkan oleh tiga defendan bahawa beliau ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA atas alasan beliau mengambil bahagian dalam kegiatan yang boleh menimbulkan ketegangan dan rusuhan kaum.

Beliau mendakwa penahanannya dilakukan tanpa asas.
Teresa mendakwa atas sikap cuai, sewenang-wenangnya dan semberono para defendan telah menyebabkannya ditangkap dan ditahan secara salah, dirinya mengalami stres selain kesakitan dan penderitaan akibat keracunan makanan dan dinafikan haknya di sisi perlembagaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment