KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri mengucapkan syabas dan kepada pihak Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) menyelesaikan isu anjing gila atau 'rabies', baru-baru
ini.
"Syabas kepada pihak KKM kerana begitu profesional dan bertindak
segera dalam menyelesaikan isu ini dengan kempen kesedaran dan
pencegahan serta bantuan perubatan," katanya dalam satu kenyataan
semalam.
Terdahulu, dua daripada tiga kanak-kanak yang dijangkiti penyakit
anjing gila atau rabies di Sarawak meninggal dunia, kata Menteri
Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Prof Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan kanak-kanak
lelaki berusia empat tahun itu, yang merupakan adik-beradik, dari
Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian, masing-masing meninggal dunia pada
jam 1.43 dan 1.46 tengah hari di Hospital Umum Sarawak.
Dr Zulkifli Mohamad turut mencadangkan empat perkara kepada masyarakat
awam dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini.
"Pertama, individu yang terdedah dengan virus tersebut atau disyaki
segera dibawa ke hospital dan melaporkannya ke Klinik Kesihatan Daerah,
kedua, anjing yang menghidapi penyakit 'rabies' harus dibunuh dan
diuruskan mengikut 'standard of operation' (SOP) yang ditetapkan KKM.
"Untuk elak wabak berjangkit, anjing liar lain yang tidak dijangkiti
wajar ditangkap dan ditempatkan di kawasan khas serta diasingkan
daripada kawasan manusia.
"Bagi mereka yang memiliki anjing hendaklah dipastikan anjing berkenaan
mendapat imunisasi secukupnya dengan vaksin rabies mengikut jadual yang
telah ditetapkan oleh pihak berautoriti," katanya.
No comments:
Post a Comment