Friday, July 14, 2017

‘Saya tersilap cakap’

Sinar Harian
‘Saya tersilap cakap’
Nor Azlina bersama dua anaknya menerima sumbangan yang disampaikan oleh Hanafi (tiga, kanan) semasa mengunjungi rumahnya.
 
PASIR MAS - Seorang ibu tunggal di sini, mengakui tersilap cakap ketika menceritakan mengenai kehidupannya kepada pemberita sepertimana disiarkan dalam akhbar dan televisyen tempatan sebelum ini.
Nor Azlina Mohd Noor, 39, dikatakan hidup menyewa di ruang letak kereta dengan bayaran RM200 sebulan.
Nor Azlina berkata, semua itu tidak benar.

“Saya mohon maaf dan semua itu tidak benar. Sebenarnya rumah yang diduduki sekarang adalah milik keluarga dan tidak disewa sepertimana dilaporkan.
“Rumah ni dua tingkat di mana saya tinggal di tingkat bawah manakala kakak di tingkat atas.

“Saya mengakui tersalah cakap dan berlaku salah faham sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Masjid Lama, Pohon Chelagi, di sini.
Dia ditemui semasa menerima kunjungan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Senator Datuk Hanafi Mamat.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka perkara tersebut akan menjadi serius sehingga menyebabkan hidupnya terganggu dengan berita berkenaan.
Dia berkata, dengan penjelasan tersebut diharap dapat menamatkan segala kontroversi yang berlaku.

Sementara itu, Hanafi berkata, hasil kunjungan tersebut mendapati Nor Azlina tidak menyewa ruang letak kereta sebaliknya tinggal di rumah keluarga.
“Dia juga turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk persekolahan dua anaknya.

“Hasil perbualan kami, dia hanya mempunyai masalah dari segi tunggakan bil elektrik serta bumbung bocor,” katanya.
Menurutnya, Umno Pasir Mas akan cuba membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan meluluskan bantuan dengan segera.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Nor Azlina bersama dua anaknya yang berusia sembilan dan tujuh tahun terpaksa menjadikan ruang letak kereta sebagai tempat berteduh semenjak empat tahun lalu dengan sewa RM200 sebulan.
Laporan akhbar itu menjadi tular sehingga mencetuskan kontroversi apabila ada yang mencampuradukkan isu itu dengan masalah politik.

No comments:

Post a Comment