Ia selepas mufti Perak mempersoalkan rakan sejawatnya
dari Perlis kerana menyokong Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak luar
nikah dibinkan nama bapa kandungnya.
PETALING
JAYA: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin hari ini berkata
perbezaan pendapat imam dalam tafsiran menyentuh soal agama perlu
diterima selagi ia berdasarkan hujah, dan ini termasuk soal status anak
luar nikah yang menjadi perdebatan hangat sejak penghakiman Mahkamah
Rayuan minggu lalu.
Asri berkata demikian dipercayai sebagai respon terhadap Mufti Perak
Tan Sri Harussani Zakaria yang membidasnya kerana menyokong keputusan
Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak luar nikah dibinkan dengan nama
bapa kandungnya, berbeza daripada amalan Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN) yang membinkan anak sedemikian dengan nama “Abdullah”.
Harussani yang mempersoalkan keputusan itu berkata pendirian Asri itu seperti “menghalalkan zina”.
“Benda yang diputuskan sejak berzaman tidak boleh ubah, sebab ia
berasaskan Al-Quran, hadis, ijma (persetujuan) ulama. Kenapa kita nak
melawan hadis? Saya harap ulama ini harus berhati-hati, kita pakailah
ijma yang telah dibuat berkurun lamanya,” katanya.
Bagaimanapun, Asri dalam catatan Facebook hari ini memetik pandangan
beberapa ulama silam termasuk Imam Abu Hanifah yang menjadi rujukan
mazhab Hanafi, mazhab dengan pengikut paling ramai di dunia Islam.
“Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan lalu
mengandung disebabkan perzinaan itu, aku berpendapat TIDAK SALAH untuk
dia berkahwin dengannya dan menutupinya (aib) dan anak itu dikira
anaknya,” Asri memetik kitab karangan Imam Ibn Qudamah, Al-Mughni yang
memetik kata-kata Abu Hanifah.
Asri berkata pandangan sama Abu Hanifah turut dikongsi beberapa tokoh
Islam seperti Ibn Taimiyyah dan Rashid Rida, termasuk ulama yang
menjadi rujukan semasa seperti Dr Yusuf al-Qaradawi
“Kesemua mereka merupakan ilmuwan terbilang. Mereka imam mujtahid.
Bahkan terkenal dengan kewarakan dan kegemilangan ilmu seperti Al-Hasan
al-Basri, Ishaq bin Ruhuyah dan Sulaim bin Yasar.
“Apakah kita ingin menuduh mereka menghalalkan zina? Ataupun kita
dangkal dalam membaca hujah dan alasan pihak yang lain?!” soal Asri.
Mahkamah Rayuan minggu lalu menegur JPN kerana bertindak di luar
kuasa apabila meletakkan “bin Abdullah” untuk mendaftarkan seorang
kanak-kanak yang diberikan taraf luar nikah ketika kelahirannya.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dalam penghakimannnya berkata Akta
Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara
kanak-kanak Islam dan bukan Islam, dan sebarang fatwa tidak boleh
dijadikan rujukan dalam hal sivil.
Ia mengundang kritikan beberapa pihak termasuk Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menyeru umat Islam bersatu
di belakang pihak berkuasa agama bagi merayu keputusan mahkamah itu.
pelik punya orang,
ReplyDeletemereka tolak semua imam mazhab tapi
utk kepentingan diri mereka guna fatwa mazhab.
cukupla nak putar belit.
asri bercakap dlm konteks akademik. sama seperti pendirian dia berkenaan penggunaan nama Allah oleh orang bukan islam di malaysia. Asri kata boleh.
ReplyDeletetapi harussani bercakap dlm konteks maslahah umum yakni kesan buruk yg hadir bersama keputusan ini kepada masyarakat. sama seperti penggunaan nama Allah di malaysia. harussani menolak atas sebab maslahat orang islam dlm konteks malaysia.
Harussani bukan tak tau tentang pendapat2 mazhab2 yg berbeza, tapi org cerdik ni meliat sesuatu yg lebih jauh drp itu. ahli akademik yg suam2 kuku saja yg hanya melihat dlm konteks akademik semata2.