Friday, August 4, 2017

Rani Kulup nak kahwin saya? Ini jawab Siti Kasim

 

 'Saya suka penampilan Rani Kulup, tapi dia kan melawak'

Peguam lantang Siti Zabedah Kasim mengaku beliau sukakan penampilan Abdul Rani Kulup tetapi tidak memandang serius laporan kononnya sensasi Internet itu berminat memperisterikannya.

Siti Zabedah atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim berkata Rani hanya bergurau dan kenyataan itu bukan pun berita.
“Dia melawak saja.

“Orang ramai ambil serius sangat, aiyo,” katanya ketika ditemui KiniTV di Mesyuarat Agung Khas (EGM) Badan Peguam Malaysia di ibu negara malam tadi.


Siti Kasim yang terkenal dengan penampilan tegasnya malam tadi juga kelihatan sering tersenyum dan ketawa dalam wawancara ringkas itu.
Sebelum ini menerusi perkongsian di Facebook, Rani menyatakan kesediannya memperisterikan Siti.

“Siti Kasim jangan kau kutuk, janganlah kau hina dia, dia pun manusia macam kita juga yang memerlukan kasih sayang.
“Ayah kan cinta wanita, seandai kata Siti Kasim ni...tak ada masalah bagi Ayah, Ayah boleh ambil dia sebagai isteri, kalau dia tiada suamilah, kalau ada suami tak bolehlah kan,” katanya sambil tergelak.

Bagaimanapun, tidak mendapat reaksi, beliau semalam dilapor menyatakan hasrat sama kepada pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida.

'Dia tak lamar pun'
Ditanya tentang 'lamaran' kedua Rani terhadap Hasmiza, Siti menegaskan perkara itu bukan lamaran.
“Ala, dia tak lamar pun. Dia cakap melawak kan.

“Kau orang saja yang buat berita,” katanya sambil ketawa.
Mengulas penampilan Rani, Siti bagaimanapun mengaku beliau sukakannya.
“Saya memang suka penampilannya,” kata aktivis Orang Asli itu disusuli ketawa besar.

“Ini jujur. Kita kena hidupkan semula pakaian Melayu kita macam itu, dengan setanjak daripada jubah-jubah bodoh itu kan.

“Lebih baik pakai setanjak Melayu. Apa yang dia pakai itu kan, saya suka cara dia berpakaian, macam pahlawan,” katanya.

Siti juga berkata hidup ini menarik sebab terdapat pelbagai watak manusia.
“Macam-macam orang, macam-macam perangai,” katanya lagi sambil menegur sikap sesetengah pihak yang mudah sensitif dengan sesuatu perkara.

No comments:

Post a Comment