Friday, September 22, 2017

Irwan Serigar digesa jelaskan penglibatan dalam Uber

 | September 22, 2017
Ia selepas 2 agensi kerajaan dipengerusikan beliau terlibat dalam siasatan pihak berkuasa AS terhadap Uber.
Liew-Chin-Tong_Irwan-Serigar_uber_600
PETALING JAYA: DAP menggesa Tan Sri Irwan Serigar Abdullah menjelaskan penglibatannya dengan syarikat khidmat pengangkutan Uber susulan penyiasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang turut melibatkan peranan dimainkan 2 agensi kerajaan di bawah pimpinannya.
Bloomberg dan Reuters sebelum ini melaporkan Malaysia antara 5 negara yang menjadi sasaran siasatan DoJ terhadap syarikat pengangkutan Uber berhubung salah laku rasuah.

Di Malaysia, siasatan tertumpu kepada “derma korporat” berpuluh ribu dolar pada Ogos 2016 kepada Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) yang ditubuhkan Putrajaya untuk menggalakkan keusahawanan.

Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) juga mengumumkan pelaburan sebanyak AS$30 juta ke dalam Uber kurang setahun sebelum kerajaan Malaysia meluluskan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (2010) yang memberi kelebihan kepada khidmat Uber.

Kedua-dua MaGIC dan Uber dipengerusikan Irwan, yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
“Beliau perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia penglibatannya dalam dakwaan skandal Uber itu,” kata Liew dalam kenyataan.

“MaGIC perlu mendedahkan butiran sumbangan yang diterima. KWAP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional, dan juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) lain perlu mendedahkan pelaburan mereka dalam Uber kepada rakyat Malaysia kerana ada kemungkinan tinggi terjadi konflik kepentingan,” katanya.

Liew juga menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri menjawab mengenai siasatan DoJ dan Uber itu.
“Jika kerajaan didapati berpihak kepada Uber kerana rasuah dan pelobi, ia tak ubah sebuah pengkhianatan kepada rakyat biasa Malaysia,” katanya, dan menambah pemandu pengangkutan awam sama ada Uber dan Grab ataupun teksi sama-sama rugi kerana tidak ada tempat mengadu.

“Pemandu-pemandu Uber dan Grab sudah mula mengeluh tentang ketiadaan platform untuk mereka menyuarakan kesulitan yang mereka dihadapi. Ramai antara mereka merasakan SPAD dan kerajaan seakan-akan bertindak sebagai jurucakap kepada Uber dan Grab,” katanya sambil membangkitkan isu pembayaran komisen 20-25% oleh kedua-dua syarikat itu

No comments:

Post a Comment