Wednesday, September 20, 2017

Nama pelik: Kakak Siti Mula, adik Siti Jadi

Nama pelik: Kakak Siti Mula, adik Siti Jadi
Siti Mula menunjukkan kad pengenalannya.
(Ubah saiz teks)
SIK - "Mak bagi nama lain, pak pi buh (daftar) nama lain." 
Itu reaksi Siti Mula Senik, 60, dari Kampung Batu Besar, Sik ketika berkongsi mengenai sejarah nama unik diberikan arwah ayah kepadanya dan dua adik yang lain.

Berkongsi kisah, Siti Mula berkata, timbul pergeseran antara arwah ibu dan ayahnya ketika nama itu diberikan.
“Arwah ibu, Che Dah Jaafar sebenarnya cadangkan arwah ayah, Senik Wan Ismail letakkan nama saya sebagai Siti Melor. 
“Tapi bila pi daftar dekat pejabat pendaftaran, pak letak nama Siti Mula. Dari cerita arwah ibu, mereka berdua bertikam lidah sebab nama Siti Mula,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, arwah ayahnya mempunyai alasan tersendiri terhadap nama tersebut.
“Mak bagitau, pak saya pilih nama ni sebab senang nak panggil. Tapi nama saya akhirnya dipanggil sebagai 'Murah' dalam kalangan keluarga.
“Murah pun cadangan ayah, dia kata dekat mak kalau tak mau panggil nama Siti Mula panggil nama Murah saja,” katanya.

Tambah Siti Mula, peristiwa sama berulang apabila adik kedua Mat Dali, 58, dan adik bongsu, Siti Jadi, 56, dilahirkan.
“Adik kedua dan adik bongsu pun pak tukar nama. Mak bagi nama lain, dia daftar nama lain.

“Nama adik kedua mak letak Zakaria, tapi ayah daftar Mat Dali, nama adik bongsu mak letak Che Gayah pak daftar dengan nama Siti Jadi,” katanya.
Menurutnya, timbul pertelingkahan selepas ayahnya mendaftarkan nama adik-adiknya, namun lama kelamaan ibunya terpaksa akur dengan nama mereka bertiga.

Tak pernah rasa janggal

Siti Mula berkata, namanya diletak sebagai Siti Mula mungkin kerana masalah mental dihadapi bapanya.
“Pak bukannya gila, cuma kadang-kadang fikirannya tidak waras. Waktu hayatnya, arwah pernah dihantar ke Tanjung Rambutan.

“Mungkin waktu nak pi daftar nama saya fikirannya terganggu. Sampai hari ni kami sekeluarga tak tahu sebab apa nama saya diberi Siti Mula,” katanya.
Menurutnya, dia tidak pernah berasa janggal dengan nama diberi.
“Kawan-kawan di sekolah atau di kampung pun tak pernah usik nama saya. 

Sebab tu tak rasa pelik sangat,” katanya yang mempunyai dua anak.
Sementara itu, Mat Dali berkata, baginya nama diberikan itu mudah dikenali masyarakat.
“Nampak macam pelik, tapi sebenarnya orang lain mudah ingat dan mudah kenal,” katanya.

Serik nak pergi sekolah

Bagaimanapun, lain pula cerita Siti Jadi yang mendakwa sering diusik rakan dan guru ketika di sekolah.
“Di sekolah, kawan-kawan selalu usik dengan nama 'Jadi-jadi'. Dulu makcik cukup tak suka dengan nama tu.

“Cikgu pun panggil dengan nama Siti Jadi. Kalau jalan dengan kakak di sekolah lagi la kena usik. Nanti mesti kawan-kawan kata 'dah mula lepas tu jadi'.
Siti Jadi menunjukkan namanya yang tertera pada kad pengenalan.
“Makcik memang marah sangat bila orang ejek. Memang kena kejar siapa-siapa yang ejek makcik," katanya.
Menurutnya, akibat tidak tahan diejek, dia hanya bersekolah setakat darjah dua sahaja.

“Tak tahan sangat kena ejek, makcik tak mau pi sekolah lagi. Mak angkat suruh pi pun makcik degil tak mau pi,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tupai.

Tak tahu nama sebenar

Siti Jadi yang digelar Che Gayah sejak kecil hanya mengetahui nama sebenarnya pada usia 12 tahun daripada ibu angkat.
“Menurut cerita mak angkat, selepas tiga hari dilahirkan, makcik diserahkan pada keluarga angkat. Dari kecil hinggalah besar, mak angkat panggil dengan nama Che Gayah. 

“Rupanya bila umur lebih kurang 12 tahun, baru makcik dapat tau kenapa orang ejek 'Jadi', rupanya nama sendiri,” katanya.
Menurutnya, nama itu lama kelamaan dapat diterima dengan hati terbuka.
“Lama-lama tu makcik reda jelah dengan nama tu, tapi tu pun bila besar ada lagi yang mengusik. Kalau pi kedai tauke kata “kira jadi ambil barang ni”?.

“Pengurus Felcra tempat makcik kerja menoreh pada 1989 sampai 2001 pun panggil nama makcik Jadi. Dah suruh panggil Gayah pun tetap nak panggil Jadi,” katanya yang kini tinggal di Kampung Baru Sri Dacing bersama suami dan dikurniakan enam anak berusia 16 hingga 35 tahun.

Jiran takut nak tanya

Jiran, Rodziah Hashim, 55, pula berkata, dia suka dengan nama Siti Mula dan Siti Jadi kerana baginya nama dua beradik itu unik.
“Mula-mula kenal pun saya hairan sebab apa nama dua beradik ni nama Siti Mula dan Siti Jadi. Nak tanya pun takut tergelak pula.
Jiran-jiran mengunjungi Siti Mula (duduk) dan Mat Dali (dua, kanan).
“Tapi bila dah lama kenal baru rahsia nama depa saya tau. Bagi saya susah nak dapat nama macam ni,” katanya

No comments:

Post a Comment