KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik syarikat direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa oleh bapanya, seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistert Noradila Ab Latif, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan itu, hari ini.

Suspek berusia 26 tahun itu ditangkap di pejabat SPRM Terengganu, pagi semalam untuk siasatan selanjutnya.

Semalam, bapanya, 53, dibenarkan direman tujuh hari untuk siasatan atas dakwaan menggunakan kedudukannya dengan melantik syarikat mlik anaknya (suspek) bagi melaksanakan satu projek bernilai lebih RM321,000, tahun lalu.

Seharusnya projek yang diperuntukkan kepada agensi di bawah pentadbiran bapanya diserahkan kepada syarikat yang dipertanggungjawabkan, namun sebaliknya dilakukan.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan sepanjang tahun 2016.
Siasatan ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.